Ibu tahanan Sosma serah memo kepada Suhakam

Rahamah Abdul Majid, ibu kepada Muhammad Hilmi Hashim yang ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan 2012 (Langkah-langkah Khas) menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung penahanan anaknya.

NONEDalam memorandum itu, Rahamah memohon Suhakam menyatakan pendirian rasmi mengenai penahanan Hilmi dan dua orang lagi di bawah akta tersebut yang dianggap bercanggah dengan hak asasi manusia.

Beliau ditemani penyelaras NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Ahmad Syukri Abd Razab dan ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib yang merupakan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau turut memohon agar Suhakam mengeluarkan saranan atau garis panduan kepada kerajaan Malaysia mengenai akta Sosma, sama ada akta tersebut selaras dengan prinsip hak asasi dan tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Pesuruhjaya Suhakam, James Nayagam memberikan komitmennya untuk meneliti permintaan Rahamah.

"Saya akan bincang ini dengan Suhakam dan kita akan jalankan siasatan dengan pihak yang terlibat dalam kes ini untuk dapatkan kefahaman.

"Berkenaan Sosma, kita akan kaji isu-isu yang telah ditmbulkan dan juga terhadap akta itu sendiri.

"Kita akan buat kenyataan tentang Sosma pada masa depan," katanya.

Tiga hari lalu Rahamah turut memfailkan permohonan habeas corpus untuk membawa Hilmi ke mahkamah dan penahanan tanpa bicara terhadapnya dihentikan.

Dalam perkembangan terkini, Hilmi petang tadi dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang atas dakwaan bersubahat dengan Yazid Sufaat atas tuduhan menggalakkan pelakuan keganasan.

 

 

 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.