Pembantu kafeteria didakwa subahat galak keganasan

Seorang pembantu kafeteria hari ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang atas tuduhan bersubahat menggalakkan keganasan bagi mengugut orang awam di Syria, tahun lepas.
    
Muhammad Hilmi Hasim, 33, yang merupakan pekerja kepada bekas tahanan ISA Yazid Sufaat, 49, didakwa bersubahat dengan Yazid bagi menggalakkan perlakuan perbuatan keganasan dengan niat untuk memajukan suatu ideologi dan perbuatan itu boleh dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di Syria.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah beralamat DL11, Taman Bukit Ampang, Lorong Mutiara 2, Lembah Jaya, Ampang antara jam 8.30 pagi dan 10.30 pagi 1 Ogos hingga 20 Oktober 2012.
    
Dia didakwa mengikut Seksyen 130G (a) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
    
Muhammad Hilmi ditahan bersama majikannya Yazid di Kompleks Mahkamah, Jalan Duta di sini pada 7 Februari lepas.
    
Barisan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria, Ishak Mohd Yusoff dan Mohd Dusuki Mokhtar manakala tertuduh diwakili peguam New Sin Yew.
    
Majistret Zulyana Zulkapli yang mendengar kes tersebut membenarkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
    
- Bernama

 

1. Yazid, Halimah mengaku tidak bersalah tuduhan keganasan

2. Kes Yazid Sufaat disebut di Mahkamah Tinggi Rabu

3. Yazid Sufaat dituduh menggalakkan keganasan

4. Polis tahan semula Yazid Sufaat

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.