Najib cabar SUPP jadi parti pilihan kaum Cina di S'wak

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mahu Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menyahut cabaran untuk muncul sebagai parti komponen Barisan Nasional (BN) yang disegani serta parti pilihan masyarakat Cina di Sarawak.
    
Najib, yang juga pengerusi BN, berkata anggota SUPP mesti bersatu dan mengetepikan perbezaan dalaman parti apabila berdepan dengan ujian sebenar meraih sokongan masyarakat Cina menjelang pilihan raya umum.
    
"Saya mahu SUPP memainkan peranan anda. Semoga anda menyahut cabaran dan memikirkan masa depan Malaysia, BN dan SUPP sebagai parti dalam semangat sebenar sambutan Tahun Baharu Cina dan melambung Yee Sang," katanya.
    
Najib berkata demikian dalam ucapannya di hadapan lebih 10,000 pengunjung pada perhimpunan sambutan pra Chap Goi Mei anjuran SUPP di bandar baharu, MJC Batu Kawah, di Kuching malam tadi.
    
Turut hadir isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, Presiden SUPP Datuk Seri Peter Chin Fah Kui dan barisan pemimpin parti komponen BN negeri.
    
Acara tersebut turut disenaraikan di dalam 'Malaysia Book of Records' sebagai bilangan terbesar 10,000 orang melakukan 'low sang' (melambung Yee Sang), mengatasi rekod 4,500 orang sebelum ini.
    
Yee Sang ialah sejenis hidangan salad ikan mentah dengan bercampur cebisan sayur-sayuran dan berankea sos dan perasa yang disediakan sempena sambutan Tahun Baru Cina sebagai lambang kemewahan, kemakmuran dan kesuburan.
    
Najib berkata kerajaan mahu melibatkan diri dengan masyarakat Cina yang telah banyak mendapat manfaat melalui dasar-dasar BN selain menghormati budaya dan gaya hidup mereka seperti menerima konsep GongXi Raya dan 1Malaysia yang menjadi sebati dalam minda rakyat.
    
"Jadi kita mempunyai banyak benda untuk bersyukur... Anda (masyarakat Cina) menikmati kehidupan yang baik kerana anda bekerja keras dan memiliki kemahiran dalam bidang keusahawanan tetapi keadaan ini semua juga kerana dasar BN yang mewujudkan peluang dan merangsangkan pertumbuhan ekonomi," katanya.
    
"Kita tidak menyekat atau menghalang anda untuk mencapai kejayaan," katanya, sambil menambah dalam bidang pendidikan, Malaysia adalah satu-satu negara dalam di dunia di luar China dan Taiwan yang membenarkan sekolah aliran Cina berkembang, satu hakikat yang diambil mudah oleh pihak tertentu.
    
Dalam pilihan raya umum nanti, Najib berharap masyarakat Cina tidak memperjudikan masa depan Malaysia untuk anak-anak dan cucu mereka kerana sekiranya membuat kesilapan, negara akan 'menjunam' dan sukar sekali untuk pulih semula.
    
Perdana menteri juga berkata beliau akan memberi maklumbalas sewajar kepada permintaan termasuk berkaitan pendidikan Cina yang dibuat oleh masyarakat itu di negeri ini, selagi permintaan mereka itu adil dan realistik.
    
Menurutnya BN bekerjasama rapat dengan kerajaan BN Sarawak di bawah kepimpinan Taib demi memberi kesejahteraan dan masa depan yang cerah untuk semua rakyat Sarawak.
    
Bagaimanapun, katanya BN mungkin mempunyai kelemahannya tetapi ia tidak seteruk seperti yang didakwa dan digambarkan oleh pembangkang.
    
"Sekira kita teruk seperti mereka (pembangkang) katakan, bagaimana kita boleh mencapai pertumbuhan ekonomi 6.4 peratus pada suku keempat tahun lepas dan pertumbuhan ekonomi 5.6 peratus keseluruhan serta menarik pelaburan langsung asing dan pelaburan swasta?
    
"Bagaimana kita boleh menggerakkan ekonomi jika segala-galanya adalah teruk tentang kerajaan ini?. Mereka (pembangkang) akan terus menjatuhkan  martabat kita bagi mengambarkan imej buruk kerajaan BN tetapi hakikatnya, kita tidak boleh menjadi sempurna. Hanya Tuhan sahaja yang sempurna," katanya.
    
Bagaimanapun, dalam menegaskan komitmen BN berlaku bertindak adil dan pembangunan saksama, beliau memberi jaminan Malaysia akan menjadi negara maju menjelang 2020.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.