Sinar Harian mohon maaf siar tulisan Ridhuan Tee

VIDEO l 1:28 secs

Sinar Harian hari ini memohon maaf kepada orang India beragama Hindu atas penyiaran rencana provokatif tulisan pensyarah kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Isnin lalu.

NONEPermohonan maaf itu disampaikan oleh penasihat editorialnya, Datuk Abdul Jalil Ali di hadapan kira-kira sepuluh penunjuk perasaan yang tidak berpuas hati dengan rencana itu dan berhimpun di pintu masuk pejabat Karangkraf tengahari tadi.

Menurut Abdul Jalil, Sinar Harian akan menerbitkan permohonan maaf itu tidak lama lagi dan beliau sendiri akan mengulangi permohonan maaf berkenaan perkara itu dalam kolumnya pada hari Khamis minggu hadapan.

"Saya mengakui saya telah melakukan kesilapan dan saya mohon maaf sebab dalam kerja kita sehari-hari kita terlepas pandang.

NONE"Yang ini saya terlepas pandang. Saya editornya. Bagi pihak seluruh karyawan Sinar Harian saya mohon maaf atas keterlanjuran ini," kata Abdul Jalil.

Beliau turut menyatakan komitmennya, menggesa Mohd Ridhuan Tee memohon maaf di atas perkara itu.

"Saya betul-betul minta maaf dan saya juga akan minta Ridhuan Tee memohon maaf," katanya kepada kumpulan itu.

Kumpulan tersebut diwakili tiga NGO iaitu Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin, Malaysia Padmasri Kelab peminat Dr Kamalhassan dan Pertubuhan Prihatin Nadi Rakyat Malaysia.

Mereka membawa sepanduk replika muka depan akhbar Sinar Harian yang tertulis "Jangan hasut kebencian kaum" sewaktu berhimpun di pintu masuk pejabat itu.

Keadaan pada awalnya sedikit tegang apabila mereka kelihatan tidak berpuas hati dan meninggikan suara apabila mendengar Jalil mengakui pihaknya menyunting rencana tersebut.

NONE"Awak cakap betul-betul, ini awak punya kenyataan. Jangan tukar-tukar cakap," kata Ramesh Rao dari Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin.

Bagaimana pun keadaan kembali reda selepas Abdul Jalil menjelaskan suntingan berkenaan dibuat untuk mengurangkan nada perkauman dalam rencana asal dan memohon maaf tentang perkara itu.

Abdul Jalil kemudiannya didakap oleh Indran Sagaran dari Kelab Peminat Kamalhassan yang kelihatan terharu dengan permohonan maaf beliau.

Kumpulan berkenaan yang ditemui kemudiannya berpuas hati dan menerima permohonan maaf tersebut.

"Saya rasa wajar, jelas dan ikhlas. Beliau (Abdul Jalil) minta maaf secara terbuka depan media, itu yang kita mahu," katanya.

Namun, mereka akan terus menunggu permohonan maaf dari Ridhuan Tee sendiri berkenaan tulisannya itu.

1. PKR bidas tulisan provokatif Ridhuan Tee

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.