Najib yakin calon BN diterima rakyat

Datuk Seri Najib Tun Razak yakin rakyat akan menerima sesiapa sahaja yang menjadi calon Barisan nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-13 (PRU-13) nanti kerana rakyat percaya kepada dasar transformasi kerajaan yang baik.

"Saya melihat sambutan rakyat sangat menggalakkan kerana mereka sudah yakin bahawa dasar transformasi yang dibawa oleh BN boleh menguntungkan rakyat dan menjamin masa depan yang jauh lebih baik," kata perdana menteri yang juga pengerusi BN, pada sidang media selepas perjumpaan dengan pemimpin BN negeri dan Majlis Tertinggi komponen BN Sarawak di Kuching hari ini.

Najib, yang mengakhiri lawatan kerja tiga hari ke Sarawak, berkata BN harus mengambil kira penerimaan calon dalam kalangan rakyat atas faktor itu.

"Saya sudah sedikit sebanyak memutuskan tentang senarai calon. Tunggu dan lihat bila tiba waktunya nanti," katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak akan terburu-buru dalam menentukan sama ada 'calon terus' BN akan dinamakan untuk bertanding di mana-mana 31 kawasan parlimen Sarawak.

Dengan sokongan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud, yang juga pengerusi BN Sarawak, Najib percaya BN boleh membawa perubahan yang lebih besar kepada Sarawak dan memastikan rakyat mendapat dan menikmati perubahan itu.

Mengenai persiapan BN negeri menghadapi PRU-13, perdana menteri berkata pada keseluruhannya BN Sarawak telah melakukan usaha yang membawa kepada tahap persiapan yang baik bagi jenteranya.

Beliau berkata pemimpin BN juga bersemangat tinggi untuk melakukan yang terbaik dengan membawa kemenangan yang besar kepada BN pada kali ini.

"Penerimaan calon pun kita kena ambil kira supaya rakyat senang hati dengan calon yang diletak oleh BN," katanya.

Daripada 31 kerusi parlimen di Sarawak, Parti Pesaka Bersatu Bumiputera (PBB) bercadang bertanding 14 kerusi, Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) lima kerusi manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) masing-masing enam dan empat kerusi.

Sementara itu, setiausaha BN Sarawak Datuk Dr Stephen Rundi berkata pada perjumpaan tertutup itu, perdana menteri menasihatkan semua, tentang persiapan menghadapi PRU-13, tetapi tidak membincangkan senarai akhir calon BN Sarawak.

Dalam amanatnya, pengerusi BN meminta semua ketua parti komponen BN negeri yang hadir supaya bersedia, dan paling penting harus bersatu menghadapi pilihan raya dengan semangat satu BN, katanya kepada pemberita.

Dr Rundi berkata semua parti komponen BN Sarawak juga diminta mengumpul maklumat setepat mungkin dan menunaikan apa-apa janji yang telah diberikan pada masa lampau kerana ia sangat penting kepada rakyat.

Presiden SPDP Tan Sri William Mawan Ikom berkata parti itu bersedia bertolak ansur mengenai pengagihan kerusi atas semangat BN.

"Perdana menteri telah berkata BN Sarawak menunjukkan semangat kerjasama yang kukuh dan semua pihak cuba mengenepikan apa jua perselisihan faham atau pertelingkahan yang berlaku," katanya.

Presiden PRS Tan Sri Dr James Masing berkata isu bekas Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) menyertai semula BN tidak timbul kerana telah dibatalkan pendaftarannya.

-Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.