13,291,385 orang sah jadi pengundi PRU13 setakat ini

Jika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) diadakan dalam masa terdekat, jumlah keseluruhan yang layak mengundi ialah seramai 13,291,385 orang.
    
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ini termasuk 243,204 pemilih baharu yang mendaftar pada suku keempat tahun 2012.
    
Bagaimanapun, beliau berkata mereka yang mendaftar sebagai pemilih pada suku pertama tahun 2013 masih ada harapan untuk mengundi dalam PRU-13 jika Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri dibubar pada hujung April, dan hari pengundian diadakan selepas cukup tempoh 60 hari.
    
"Sekarang ni dah bulan Februari, paling lewat Dewan Rakyat dibubarkan ialah 30 April. Jadi maknanya, paling lewat SPR akan mengumumkan (PRU-13) dalam tempoh dua bulan, mungkin sampai ke akhir bulan Jun ataupun Julai (hari pengundian)," katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat serta menyerahkan watikah pelantikan pengurus pilihan raya bagi negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang di Langkawi semalam.
    
Mengulas pemantau dari luar untuk PRU-13, Abdul Aziz berkata setakat ini, SPR belum menerima sebarang nama, namun menjangkakan pemantau dari negara Asean akan melibatkan diri.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.