Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kira-kira 1,000 biji epal hijau diedarkan hari ini di sekitar Bukit Bintang oleh sebuah badan di bawah Dewan Muslimat PAS bagi memberi kesedaran kepada wanita muda agar keluar mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

pas green apple wave 2 Pengerusi Ameerah Malaysia, Fareedah Samad berkata, program yang diberi nama Gelombang Epal Hijau itu juga bertujuan untuk memberitahu masyarakat tentang lapan tawaran yang dibawa oleh Ameerah Malaysia.

Menurut Fareedah, program anjuran badan yang berada di bawah lajnah politik muslimat muda, dewan muslimat PAS itu juga dihadiri kira-kira seratus sukarelawan Ameerah Malaysia yang ditugaskan memberi epal kepada orang ramai sekitar Bukit Bintang.

Selain itu, Fareedah berkata, pihaknya juga merancang untuk membuat "flash mob" di hadapan pusat membeli-belah Pavillion.

pas green apple wave Bagaimanapun, mereka telah dihalang oleh dua anggota polis bantuan pusat membeli-belah itu serta diminta bersurai segera.

Berikutan itu, Fareedah berkata, pihaknya hanya berkumpul selama 10 minit dan turut mendeklamasikan sajak sebelum bersurai.

"Program Gelombang Epal Hijau ini memberi lapan tawaran kepada wanita muda.

"Walaupun terdapat sedikit gangguan daripada pihak polis bantuan, tetapi kita ada buat deklamasi sajak bagi menghargai wanita muda supaya lebih ramai akan terlibat dan keluar mengundi pada pilihan raya umum akan datang.

"Kita memberi epal hijau kerana , epal hijau ini sinonim dengan wanita muda kerana epal hijau ini memberi kesihatan serta warnanya dekat dengan wanita muda," kata Fareedah dalam sidang media di ibu negara hari ini.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa suasana di dataran kompleks beli-belah Pavilion menjadi kecoh apabila 100 anggota Ameerah yang berhimpun di situ enggan bersurai apabila diarahkan oleh pengawal keselamatan kompleks berkenaan.

   

Ketika itu anggota Ameerah sedang berkumpul dengan membawa sepanduk mengenai lapan agenda pakatan pembangkang di bawah 'program gelombang epal hijau' tetapi diarah bersurai oleh pengawal keselamatan atas alasan tidak  mendapat kebenaran pihak pengurusan kompleks itu.

   

Pada mulanya kumpulan itu enggan bersurai atas alasan kawasan itu merupakan kawasan awam dan mereka telahpun memaklumkan tentang program itu kepada ibu pejabat polis Dang Wangi namun berlaku kekecohan antara seorang anggota Ameerah dengan pengawal keselamatan.

   

Mereka kemudian terpaksa berganjak ke kawasan siar kaki di hadapan kompleks itu dan diberi masa kira-kira 10 minit untuk menjalankan program dengan dipantau oleh 25 pengawal keselamatan sebelum diarah beredar.

   

Sebelum bersurai mereka mengagihkan kira-kira 700 biji epal hijau kepada orang ramai yang lalu-lalang di kawasan berkenaan.

   

Pengerusi Ameerah, Fareedah Samad berkata satu surat makluman telah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi bagi memaklumkan mengenai  program berkenaan.

   

"Saya difahamkan kawasan dataran dan siar kaki ini merupakan kawasan awam," katanya.

   

Beliau berkata walaupun terjadi sedikit kekecohan, namun program berkenaan dianggap telah mencapai matlamat mewujudkan kesedaran di kalangan golongan wanita muda agar keluar mengundi pada pilihan raya umum ke-13  nanti.

ADS