Pakatan tumpu usaha kurangkan beban rakyat

Pakatan Rakyat hari ini mendedahkan kandungan manifesto bertemakan 'Pakatan Harapan Rakyat' yang menumpukan kepada usaha untuk mengurangkan beban rakyat bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

NONEDokumen berkenaan dibentangkan bersama oleh tiga pemimpin utama Pakatan - Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli, Ahli jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Naib Presiden DAP M Kulasegaran.

Sekiranya Pakatan Rakyat memerintah, gabungan parti pembangkang itu juga akan meningkatkan pendapatan isi rumah sehingga RM4,000 bagi mengurangkan kesenjangan ekonomi.

Selain itu, katanya, Pakatan Rakyat berjanji akan menghentikan serta merta operasi kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan jika berjaya menang dan menawan Putrajaya.

Katanya lagi, Pakatan Rakyat juga akan mengkaji semula fasa-fasa pelaksanaan RAPID di Pengerang.

Pakatan Rakyat akan turut mereformasikan semua undang-undang sedia ada berkait dengan pembalakan dan kawal selia aktiviti pembalakan, katanya.

"Dasar ekonomi Pakatan Rakyat mensyaratkan kesinambungan lestari alam sekitar dan menitik beratkan kemaslahatan rakyat sebelum kelulusan diberikan.

"Makanya, secara prinsipnya sebarang aktiviti ekonomi yang melibatkan radiasi yang membahayakan orang ramai atau apa-apa kegiatan yang dikira merosakkan alam sekitar tidak akan diluluskan oleh kerajaan Pakatan Rakyat baik diperingkat negeri dan persekutuan," manifesto itu dipetik.

Selain itu, Pakatan akan menaikkan caruman kerajaan ke dalam Lembaga Tabung Angkatan tentera dari 15 peratus kepada 20 peratus untuk menjamin masa depan perajurit.

Pakatan juga akan menghapuskan sistem permit teksi yang diberikan kepada syarikat tertentu dan permit teksi akan diberikan terus kepada pemandu teksi, tambahnya.

Dalam manifesto tersebut, Pakatan Rakyat akan membuat pelarasan percukaian rakyat demi kesaksamaan kerana kadar cukai pendapatan sedia ada tidak menggambarkan kedudukan ekonomi rakyat sebenarnya.

"Golongan kaya mahakaya yang berharta beratus ribu juta membayar cukai yang sama dengan seorang eksekutif syarikat swasta. Jalur pendapatan yang digunakan bagi tujuan cukai peribadi akan dirombak untuk menggambarkan kedudukan ekonomi semasa rakyat.

"Jalur pendapatan akan dilebarkan agar kadar cukai 26 peratus kini hanya mula dibayar bagi pendapatan boleh cukai RM400,000 ke atas, berbanding RM250,000 sekarang," manifesto itu dipetik.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.