Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan sedang memperhalusi beberapa perkara berhubung masa siaran yang akan diberi kepada pembangkang pada pilihan raya umum akan datang.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Joseph Salang berkata antara perkara yang diambil kira ialah mengenai pembahagian masa dan peluang antara kerajaan dan pakatan pembangkang.

"Memang pembangkang berhak diberi airtime (masa siaran) tetapi kami hendak tahu manifesto manakah yang mereka akan pakai. Adakah dari tiga parti di bawah pakatan pembangkang, dan bagaimana dengan parti-parti lain.

"Begitu juga dengan pengagihan masa, bagaimana harus dibuat. Adakah mengikut peratus kerusi dalam parlimen dan sebagainya.

"Perkara seperti ini harus diperhalusi sebelum kami boleh mengumumkan secara muktamad bagaimana kami mengagihkan airtime untuk mereka mewar-warkan manifesto parti nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan antarabangsa mengenai latihan penyiaran di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, beliau berkata pelbagai cabaran perlu diambil kira sebelum TV Digital Definisi Tinggi (HDTV) digunakan secara menyeluruh.

Beliau berkata ia bukan sahaja dihadapi di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

"Sepertimana yang kita ketahui, penggunaan HDTV semakin popular ketika ini tetapi ada cabaran yang perlu dihadapi, contohnya dari segi bekalan elektrik yang tidak menentu khususnya di kawasan pedalaman," katanya.

- Bernama

ADS