'Manifesto Pakatan umpama tanam tebu di bibir mulut'

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata manifesto pilihan raya yang diumum pakatan pembangkang semalam tidak realistik, umpama "tanam tebu di bibir mulut" (tanam tebu di tepi bibir).

Ini kerana katanya sehingga sekarang pembangkang masih tidak melaksanakan janji untuk memberi "bintang dan bulan" di negeri-negeri yang mereka kuasai selepas pilihan raya umum lepas.

"Janji pembangkang dalam manifesto memberikan pendidikan percuma bermula dari prasekolah sehingga menara gading jika menguasai Putarajaya tidak realistik.

"Tak payah tunggu memberikan pendidikan percuma sekiranya menguasai Putrajaya, buat dulu di negeri yang ditadbir mereka bagi membuktikan kemampuan mereka seperti di Selangor.

"Saya lihat manifesto ini tidak lebih sekadar 'tanam tebu di bibir mulut', manis mulut bercakap tapi hati lain, macam cakap tak serupa bikin," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam anjuran Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Selangor, di Klang malam tadi.

Noh yang juga menteri pertanian dan industri asas tani berkata banyak janji yang dibuat kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat di Selangor pada pilihan raya umum lepas tidak ditunaikan dan sekarang rakyat mula bangkit menuntut hak mereka di mahkamah.

Manifesto bertema "Manifesto Rakyat Pakatan Harapan Rakyat" yang dibentang pakatan pembangkang semalam antara lain berjanji untuk menghentikan serta-merta operasi kilang nadir bumi Lynas dan membatalkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) jika mereka memenangi pilihan raya umum ke-13(PRU13).

Sementara itu, bekas Menteri Besar Selangor Tan Sri Abu Hassan Omar meminta rakyat negeri tersebut agar tidak terpedaya dengan janji manis pembangkang dalam manifesto mereka yang beliau percaya tidak akan ditunaikan selepas memerintah.

"Janji ini bukanlah janji baru tapi janji sama yang muncul setiap kali menjelang pilihan raya umum," kata Abu Hassan yang juga Yang Dipertua Mubarak Selangor.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.