'Janji Pakatan bukan perkara baru'

Manifesto pilihan raya Pakatan Rakyat hanyalah himpunan janji manis yang tidak akan memperdayakan rakyat Sabah, kata Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Menggambarkan manifesto Pakatan sebagai sekadar gimik politik untuk menipu dan memperdayakan rakyat, beliau berkata manifesto itu tidak mengandungi perkara luar biasa.

"Sebahagian besar daripada janji itu bukanlah perkara baharu, kita tahu siapa yang menabur janji ini...tidak boleh dipercayai dan lihat saja negeri yang mereka tadbir, perkara asas sekalipun mereka tidak dapat selesaikan," katanya kepada Bernama di Kota Kinabalu semalam.

Bekas ketua menteri Sabah itu diminta mengulas mengenai pengumuman manifesto pakatan pembangkang di Shah Alam semalam.

Ketika mengumumkan butiran manifesto itu, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli dipetik sebagai berkata Pakatan komited untuk mempertahankan hak Sabah dan Sarawak dalam lingkungan kerangka Perlembagaan Persekutuan.

Pakatan menegaskan pelantikan rakyat Sabah untuk memimpin dan memegang jawatan di jabatan kerajaan di negeri masing-masing, dikuatkuasakan oleh setiausaha kerajaan negeri di kedua-dua negeri dan memberi keutamaan kepada rakyat Sabah di peringkat kerajaan persekutuan untuk menjalankan tugas mereka di negeri masing-masing.

Rafizi juga dipetik sebagai berkata Pakatan turut berjanji menaikkan bayaran royalti petroleum dan sumber hidrokarbon Sabah daripada lima peratus kepada 20 peratus.

Salleh, yang juga timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Sabah, berkata hampir semua jawatan penting di jabatan dan agensi persekutuan di Sabah telahpun diisi oleh rakyat Sabah yang layak.

Beliau berkata ini termasuk jabatan kesihatan, pendaftaran negara,imigresen, pegawai kewangan persekutuan, Pejabat Pembangunan Sabah, Jabatan Kastam Sabah dan Universiti Malaysia Sabah.

"Kini, semakin ramai rakyat Sabah menduduki jawatan tertinggi di jabatan dan agensi persekutuan di Sabah. Sebagai contoh, jabatan dan agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan di Sabah seperti Jabatan Penyiaran (RTM Sabah, Jabatan Penerangan Negeri, Jabatan Hal Ehwal Khas, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia biro Sabah, Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi wilayah Sabah dan Labuan serta Pos Malaysia Sabah) diketuai rakyat Sabah yang berpengalaman dan berkelayakan," katanya.

Mengenai kenaikan royalti, Setiausaha Barisan Nasional Sabah Datuk Abdul Rahman Dahlan baru-baru ini memberi amaran kepada rakyat bahawa janji pembangkang berhubung kenaikan 15 peratus (daripada lima peratus sekarang) dalam royalti minyak kepada Sabah akan akhirnya menjejaskan kewangan Petronas "yang mungkin membawa kepada muflis."

Beliau menegaskan berdasarkan formula semasa, bagi setiap RM100 hasil yang diraih daripada minyak Sabah, lima peratus akan ke tabung negeri manakala lima peratus lagi kepada tabung Persekutuan.

"Kira-kira 45 peratus masuk ke dalam kos penemuan dan baki 45 peratus kepada keuntungan kasar usahasama.

"Kesudahannya, keuntungan Petronas, selepas mengasingkan hasil dengan yang lain dan selepas membayar cukai, hanya sekitar 16.74 peratus.

"Jika Petronas diminta membayar 15 peratus daripada margin keuntungannya, ini akan menyebabkan mereka tidak mampu membayar overhead mereka, komitmen kewangan dan pelaburan semula bagi pendapatan masa depan. Ini akhirnya akan memberi tamparan kewangan yang mungkin membawa kepada muflis," Abdul Rahman dipetik sebagai berkata.

Sementara itu, Pergerakan Puteri Umno Sabah mempersoalkan sumber dana Pakatan bagi membolehkan parti pembangkang memberi segala-galanya percuma kepada rakyat.

Ketua Puteri Umno Sabah Musliati Moslimin berkata adalah mustahil untuk melaksanakan apa yang dijanjikan dalam manifesto itu dan boleh menyebabkan negara menjadi muflis.

"Pilihan raya umum (PRU) ke-12 sebelum ini pun negeri-negeri yang pembangkang menangi dengan janji-janji manifesto mereka tiada yang tertunai. Apatah lagi pada PRU ke-13 nanti.

"Sebuah parti yang rasa mereka akan kalah bolehlah menjanjikan manifesto yang manis kerana mereka tahu tidak perlu menunaikan janji tersebut," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Musliati berkata rakyat kini bijak menilai parti mana yang mampu menunaikan janji mereka kepada rakyat.

-Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.