Banjir: Sekolah di Hulu Besut ditutup

Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La di Hulu Besut terpaksa ditutup hari ini berikutan ramai pelajar dan gurunya tidak dapat hadir ke sekolah ekoran beberapa jalan ke sekolah itu dinaiki air antara 0.6 meter hingga 1.3 meter.

Laluan terbabit ialah di Km27, Jalan Jerteh-Keruak dekat Sungai Patong dan di Km13 dekat Kampung Gertak Jerbun.

Pegawai Pelajaran Daerah Besut Ab Halim Hassan ketika dihubungi Bernama berkata sekolah itu diberikan kebenaran cuti berganti.

Katanya, beliau juga dimaklumkan ramai guru yang mengajar di Sekolah Menengah Bukit Payong, SK Tenang, SK Panchor dan SK Keruak di daerah itu juga tidak dapat pergi ke sekolah masing-masing dan terpaksa melapor diri di sekolah berdekatan yang tidak terjejas dengan banjir.

Ini berikutan jalan ke Hulu Besut dari Jerteh dinaiki air di beberapa tempat seperti di Kampung Gertak Jerbun, Pasir Akar dan Lepang Kejor di Darau, katanya.

"Sekiranya keadaan banjir didapati bertambah buruk, pihak sekolah perlu mengambil langkah segera bagi mengisytiharkan cuti bagi sekolah mereka," katanya.

Sementara itu tinjauan Bernama ke beberapa lokasi di Kampung Pasir Akar mendapati paras air yang naik akibat limpahan Sungai Besut sejak petang semalam masih tidak berubah.

Penduduk dilihat memantau keadaan paras air sungai sebelum bertindak untuk berpindah di pusat-pusat pemindahan yang disediakan.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.