Exco pemuda Umno kata BTN baik untuk siswa

Exco pemuda Umno Tun Faisal Ismail Aziz mempertahankan kursus Biro Tata Negara (BTN) yang dianggapnya sebagai medan terbaik untuk pelajar universiti melontarkan pandangan kritikal terhadap polisi kerajaan.

Ketua unit media baru Umno itu berkata pandangannya itu berdasarkan penglibatannya dalam gerakan mahasiswa sewaktu menuntut dalam jurusan farmasi di Universiti Sains Malaysia pada awal 90-an.

"Kami adalah antara mahasiswa yang kritikal dahulu. Tempat yang paling kita suka jadi kritikal adalah kursus BTN sebab kita nak uji siapa punya provokasi lagi kuat, kita atau pegawai BTN," katanya.

Beliau seterusnya menggesa mahasiswa agar mengambil contoh dan menjadikan kursus BTN sebagai wadah untuk mencabar idea-idea mereka sendiri di samping bersikap kritikal dan mendapat pemahaman lebih mendalam tentang dasar kerajaan.

"Inilah tempat dasar-dasar kerajaan diceritakan untuk mahasiswa yang tak percaya atau tak yakin atau ada keraguan.

"Inilah tempat yang sebaik-baiknya untuk kita jadi kritikal. Kita tak kisah pun dilabelkan pembangkang atau tidak," katanya dalam satu program wacana anjuran Sinar Harian di Shah Alam petang ini.

Turut berkongsi pendapat sama dengan Tun Faisal adalah pengamat politik dan pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Azmi Hassan.

Tenaga pengajar di kursus BTN itu berpandangan bahawa program tersebut adalah medium terbaik untuk kerajaan menerangkan polisi-polisi mereka kepada mahasiswa.

"Kalau kerajaan nak mengadakan BTN, biarkan mereka adakan BTN, itu hak kerajaan.

"Tetapi pelajar boleh berfikir ke mana arah tuju mereka," katanya turut menjangka bahawa Pakatan Rakyat akan turut menggunakan BTN untuk menerangkan dasar mereka sekiranya menjadi kerajaan.

"BTN jangan kita kaitkan dengan parti pemerintah, kita kaitkan dengan kerajaan pada hari itu. BTN menerangkan dasar-dasar kerajaan pada hari itu.

"Katakan kalau Pakatan memerintah Putrajaya pada masa hadapan, mereka juga akan melakukan perkara yang sama. Ini bukan perkara yang pelik," katanya.

Turut serta dalam wacana bertajuk 'Kuasa Politik Mahasiswa' petang ini ialah Pengarah komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, timbalan presiden Majlis Belia Malaysia, Muammar Ghadafi Jamal dan presiden Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung, Azan Safar.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.