Untung bersih AirAsia meningkat kepada RM1.88b

Untung bersih AirAsia Bhd bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012 meningkat kepada RM1.88 bilion daripada RM555.3 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.
    
Dalam satu kenyataan semalam, AirAsia berkata untung bersih itu termasuk pendapatan RM120.1 juta bagi pelupusan pegangan empat peratus itu.
    
"Ia juga termasuk keuntungan nilai adil bagi baki kepentingan ekuiti 45 peratus dalam Thai AirAsia sebanyak RM1.04 bilion," katanya.
    
Ia berkata perolehan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012 meningkat kepada RM4.99 bilion daripada RM4.49 bilion pada tempoh yang sama 2011.
    
Pertumbuhan perolehan disokong oleh pertumbuhan sembilan peratus dalam volum penumpang sementara tambang purata adalah enam peratus lebih tinggi pada RM187 berbanding RM176 pada 2011, katanya.
    
Sementara itu, dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, AirAsia berkata ia telah mengamalkan polisi untuk membayar dividen tahunan sehingga 20 peratus daripada perolehan keuntungan operasi bersih sesaham.
    
Dasar dividen ini akan bermula pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2013.

Lembaga pengarah juga mengusulkan dividen satu peringkat akhir sebanyak enam sen bagi tahun kewangan 2012.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.