Noh Omar: Kami semua kem BN Selangor

Ahli Parlimen Tanjung Karang, Datuk Seri Noh Omar menolak andaian bahawa pelantikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai pengarah pilihan raya BN Selangor merupakan usaha untuk meredakan persaingan di antara fraksi berbeza dalam BN Selangor.

Beliau membandingkan situasi itu dengan keadaan dalam pentadbiran Pakatan Selangor, di mana ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai penasihat ekonomi negeri.

"Apa kena mengena Anwar Ibrahim nak jadi penasihat (ekonomi) negeri? Adakah dia tak yakin dengan kepimpinan MB yang kononnya tokoh korporat?

"Di Selangor, tokoh korporatnya di situ, timbalan presiden PKR-nya di situ. Adakah PKR juga berpecah sehingga Anwar Ibrahim terpaksa menjadi penasihat?," soal menteri pertanian dan industri asas tani itu.

Noh menjelaskan, beliau dan koordinator BN Selangor Datuk Seri Zin Mohamad menjalankan tugas berbeza dalam menghadapi pilihan raya namun mereka tetap berada dalam kem politik yang sama.

"Kem kita adalah kem BN. Sekarang ini Datuk Zin timbalan pengarah pilihan raya, sebelum ini dia koordinator.

"Saya sebagai timbalan pengerusi BN, saya akan tumpu aktiviti-aktiviti parti.

"Selangor ini kita tahu negeri kita nak lawan pembangkang, jadi kita mesti tumpu kerja kita dan tanggungjawab ini tak boleh dipikul seorang," katanya.

Beliau ditanya pemberita selepas majlis menyampaikan sijil perakuan kemudahan memproses durian sejuk beku ke China di Putrajaya petang ini.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.