Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Imam Hoslan Hussin yang dipenjara lebih tujuh bulan atas kesalahan membaling selipar ke arah hakim di mahkamah, akan melancarkan buku yang merakamkan pengalamannya serta dakwaan penyelewengan yang dibangkitkan di mahkamah sebelum ini.

Isteri Hoslan, Noorliza Mat Hassan berkata buku setebal 102 halaman itu antara lainnya memperincikan dakwaan penyelewengan dana tabung Masjid Ar-Rahimah di Kampung Pandan – tempat bekas imam rawatib itu bekerja sebelum ini.

NONE Ibu kepada tujuh orang anak itu berkata, Hoslan mula menulis buku tersebut sejak dibebaskan dari penjara pada November lalu.

“Banyak isi buku itu berkisar kepada (dakwaan) penyelewengan wang Masjid Ar Rahimah, selepas itu kisah dia naik turun mahkamah dan sedikit sebanyak tentang kisahnya di penjara," kata Noorliza kepada Malaysiakini.

Hoslan, 46, merancang untuk melancarkan bukunya itu pada 28 Februari ini sewaktu ceramahnya di pentas Pakatan Rakyat di Pasar Chow Kit pada malam ini, kata Noorliza lagi.

Mahkamah pada 22 Februari lalu memerintahkan Hoslan dihukum penjara setahun atas kesalahan menghina mahkamah dengan membaling selipar ke arah hakim.

Hoslan bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah yang menolak permohonannya.

NONE Beliau sebelum itu merayu keputusan yang memihak kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk mengusir beliau daripada kuarters masjid Ar-Rahimah di Kampung Pandan, Kuala Lumpur pada 1999.

Beliau turut mengemukakan dokumen sebagai bukti dakwaan penyelewengan yang berlaku di masjlid tersebut - bagi menyokong rayuannya pada hari kejadian baling selipar itu.

Hoslan dibebaskan dengan parol pada 8 November lalu selepas meringkuk selama tujuh bulan dan tiga hari di penjara.

Malaysiakini berusaha mendapatkan komen Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk menjelaskan dakwaan penyelewengan tersebut, ketika Hoslan membangkitkan perkara itu tahun lalu.

Malaysiakini pada minggu ini sekali lagi menghubungi pihak MAIWP melalui panggilan telefon, emel dan faksimili bagi mendapatkan reaksi mengenai dakwaan berkenaan.

ADS