Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Dr M: Turun duti kereta import akan jejas Proton
Diterbitkan:  Feb 28, 2013 5:10 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bimbang langkah kerajaan untuk menurunkan duti ke atas kereta import ke negara ini akan menjejaskan jualan kereta nasional Proton.

"Sebagai penasihat Proton, tindakan kerajaan berkaitan duti import akan menjejaskan jualan Proton," katanya sewaktu mengulas pengumuman pengurangan duti import itu hari ini.

Bekas menteri kewangan itu berkata, pengurangan duti itu akan memberi lebih cabaran kepada industri kereta tempatan yang menurutnya sudahpun bersaing dengan pengeluar kereta luar negara.

"Membunuh (industri tempatan) itu tidaklah tetapi industri tempatan mempunyai cabaran yg lebih keras.

"Industri tempatan kalau boleh hendak ada potensi tetapi sekian lama kita ada Proton, banyak perlindungan dahulu sudah dihapuskan.

"Sekarang ini mereka bersaing dengan kereta import berdasarkan terma yang sama, tiada banyak perlindungan," katanya.

Beliau berpendapat duti eksais ke atas kereta import itu harus dikekalkan kerana ia menyumbang kepada sumber subsidi tahunan negara sebanyak USD33 bilion setahun.

"Kita kena ada duit kalau tidak bagaimana kita mahu beri subsidi," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan syarahan perdana di Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT), Jalan Semarak petang ini.

Mengulas mengenai tawaran Pakatan Rakyat untuk mengurangkan harga kereta pula, Mahathir berkata ia akan menyebabkan orang ramai lebih berminat membeli kereta baru yang harganya hampir sama dengan kereta terpakai dalam pasaran.

Pada masa sama, orang ramai juga tidak dapat menjual kereta terpakai mereka untuk membeli kereta baru kerana orang ramai tidak lagi berminat membeli kereta terpakai, katanya.

"Kereta second hand (terpakai) tak laku. "Kalau tak boleh jual kereta second hand, orang nak beli kereta baru pun tak boleh nak beli juga," katanya.

Beliau sebelum itu ditanya mengenai pengumuman Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed hari ini berhubung pengurangan duti tersebut.

Mustapa dalam pengumumannya berkata pengurangan tersebut hanya melibatkan kereta yang diimport sepenuhnya.

ADS