MAS kurangkan kerugian RM2b

Malaysia Airlines mencatatkan pengurangan kerugian yang amat signifikan iaitu sebanyak RM2 bilion untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember  2012, sekaligus menyaksikan kerugian pracukainya RM424.8 juta daripada kerugian pracukai sebanyak RM2.51 bilion dalam tahun 2011.
    
Bagaimanapun, pendapatan syarikat penerbangan itu merosot kepada RM13.76 bilion daripada RM13.9 bilion sebelumnya.
    
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Ahmad Jauhari Yahya berkata penyumbang utama kepada trend positif yang berterusan dalam prestasi kewangan tahunan di peringkat operasi ialah Program Rasionalisasi Laluan yang menyaksikan secara keseluruhan penurunan enam peratus dalam tempat duduk tersedia setiap kilometer (ASK) dalam tahun 2012.
    
MAS berjaya menguruskan perbelanjaan bahan bakarnya, yang menguasai 38 peratus daripada perbelanjaan, sebanyak sembilan peratus atau RM518 juta kepada  RM5.33 bilion dalam tahun kewangan dengan harga purata bahan bakar kekal tinggi pada purata US$134 setong, katanya dalam taklimat media di sini hari ini untuk mengumumkan keputusan MAS bagi tahun 2012.
    
Beliau berkata prestasi syarikat penerbangan untuk tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2012, akan lebih baik dengan pertumbuhan dua digit memandangkan syarikat itu dalam trend pertumbuhan.    
    
"Kami akan menerima 18 pesawat baharu tahun ini yang kebanyakannya ialah untuk penggantian pesawat lama. Kami turut meninjau beberapa laluan baru di China dan negara-negara lain yang tertentu," kata beliau.
    
Mengenai suku akhir tahun kajian, Ahmad Jauhari berkata yang ia telah mencapai keputusan terbaik untuk syarikat penerbangan sejak pelancaran rancangan perniagaannya dalam tahun 2011.
    
"Kami berjaya mencatatkan keuntungan dalam dua suku terakhir kami, satu trend yang positif selepas mencatatkan kerugian dalam enam keputusan sukuan," tambahnya.
    
Untuk prestasi suku pertama berakhir 31 Mac, 2013, Ahmad Jauhari yakin yang MAS akan mencatatkan keputusan yang lebih baik berbanding suku yang sama tahun lepas meskipun dengan jangkaan prestasi yang lembap dalam suku itu.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.