Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Bantuan yang dihulur kerajaan kepada rakyat selama ini bukan berunsur politik tetapi sesuatu yang dituntut agama, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Beliau berkata kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak amat mementingkan kebajikan rakyat dengan memberi bantuan mengikut kemampuan bagi memastikan rakyat hidup dalam keadaan selesa dan harmoni.

"Setiap agama menggalakkan penganutnya agar berlumba-lumba melakukan kebaikan bukannya menimbulkan kekecohan sehingga berlaku perpecahan dalam masyarakat.

"Malah pemimpin juga perlu menunjukkan contoh teladan yang baik sebagai ikutan kepada rakyat bagi mencerminkan sifat pemimpin terpuji," katanya selepas merasmikan Pusat Hemodialisis Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP)-Kolej Sains Perubatan Antarabangsa Pusrawi (Picoms), di Kuala Lumpur hari ini.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Picoms Datuk Mahamad Zubir Sheikh Saad, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Datuk Che Mat Che Ali dan Ketua Penyelaras Gerakan Parlimen Batu Dr Dominic Lau Hoe Chai.

Jamil Khir mengulas tohmahan pembangkang yang mendakwa kerajaan hanya melakukan pembaziran demi mengaburi mata rakyat dengan memberi pelbagai bantuan serta insentif bagi meraih undi pada pilihan raya umum akan datang.

Katanya tohmahan sedemikian tidak sedikitpun menjejaskan usaha kerajaan untuk terus membela nasib rakyat di negara ini.

Terdahulu ketika berucap pada majlis itu, berkata MAIWP dan Picoms kini berjaya mengorak langkah ke arah perkembangan dan perubahan inovasi cemerlang dengan bekerjasama menjayakan penubuhan pusat berkenaan.

"Kerjasama ini memudahkan MAIWP memantau lebih dekat pesakit yang dibiayai Baitulmal serta memastikan mereka mendapat rawatan dialisis dan perkhidmatan terbaik daripada Picoms," kata Jamil Khir yang juga Pengerusi MAIWP.

Beliau berkata berkata pusat yang beroperasi awal Disember lepas itu mampu memberi rawatan dialisis kepada 78 pesakit dan setakat ini sebanyak 60 pesakit datang mendapatkan rawatan di situ.

Sebanyak 13 mesin dialisis disediakan di pusat itu dan diurus tadbir seorang pengurus operasi yang dibantu 10 jururawat terlatih terdiri daripada graduan Diploma Kejururawatan Picoms, katanya.

Beliau berkata Picoms juga bercadang menubuhkan dua lagi pusat dialisis di Wangsa Maju dan Cheras, bagi menampung keperluan pesakit yang semakin meningkat selain menjadikan pusat itu sebagai tempat latihan klinikal dan membuka peluang pekerjaan kepada pelajar lepasan Picoms.

Seorang pesakit Mohd Yusuf Mohd Saman, 50, berkata beliau berasa selesa mendapatkan rawatan dialisis di pusat itu kerana tidak ramai pesakit datang mendapatkan rawatan.

"Saya datang seminggu tiga kali ke pusat ini bagi mendapatkan rawatan sejak dua bulan lepas secara percuma. Saya bersyukur dengan kemudahan yang ada ini," kata bapa kepada empat anak itu.

Pesara swasta Zaiton Zahrah Abdul Majid, 68, yang berasal dari Gombak, menyifatkan kewujudan pusat itu memberi keselesaan kepada pesakit yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan rawatan sepatutnya.

-Bernama

ADS