Polis sahkan 2 komando, 12 penceroboh terbunuh

dikemaskini Polis mengesahkan dua anggota komando Polis Diraja Malaysia terkorban manakala 12 penceroboh bersenjata dari selatan Filipina maut dalam insiden tembakan membabitkan kedua-dua pihak di Kampung Tanduo di Lahad Datu hari ini.   

Kejadian pada kira-kira pukul 10 pagi itu turut menyebabkan tiga lagi anggota pasukan keselamatan cedera, kata polis, lapor Bernama.
   
Kesemua 12 penceroboh rakyat asing yang terbunuh itu adalah antara 180 pengikut 'Sultan Sulu' yang dikepung pasukan keselamatan di Felda Sahabat 17, Kampung Tanduo.
   
azlanMereka cuba keluar daripada kepungan pasukan keselamatan dan mula melepaskan tembakan apabila terserempak dengan anggota keselamatan yang sedang berkawal, kata Pasuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.
   
Bercakap dalam satu sidang akhbar di Lahad Datu, beliau berkata insiden tembakan antara pasukan keselamatan dan kumpulan penceroboh itu berlanjutan selama 20 minit.

Menceritakan semula kejadian itu, Hamza berkata kumpulan penceroboh rakyat asing yang terlebih dahulu melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan Malaysia.
   
"Pihak komando polis terpaksa melepaskan tembakan untuk mempertahankan diri dan berlaku pertempuran antara kedua pihak," kata Hamza.
   
Hamza berkata turut ditemui pada kumpulan kecil penceroboh itu ialah beberapa laras senjata api antaranya M16, pistol dan rifel SLR, peluru dan beg-beg pakaian.
   
Beliau berkata polis kini mengepung Kampung Tanduo, yang masih diduduki sebahagian anggota kumpulan itu, dan kawalan keselamatan di kawasan berkenaan semakin diperketatkan.
   
"Polis telah mengawal segala laluan dan sukar untuk pihak penceroboh untuk keluar atau masuk ke kawasan kampung berkenaan," katanya.

Hamza turut menafikan laporan termasuk yang disiar laman sosial dan agensi berita asing bahawa terdapat anggota kumpulan penceroboh itu menyerah diri dan melarikan diri melalui jalan laut.
   
Dalam pada itu, Hamza turut menegaskan bahawa polis tidak mengeluarkan sebarang arahan perintah berkurung di Lahad Datu ekoran insiden itu.
   
"Saya diberi kuasa untuk melaksanakan perintah itu dan tiada sebarang perintah itu dikeluarkan seperti yang dilaporkan," katanya sambil memberitahu bahawa keadaan di Kampung Tanduo kini terkawal dan tenang.
   
br1m 2.0 launch by najib razak 2Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (kiri) dilaporkan berkata beliau telah memberi mandat kepada ketua polis negara dan panglima angkatan tentera untuk mengambil sebarang tindakan terhadap kumpulan penceroboh bersenjata itu dan tiada kompromi lagi.
   
Najib juga dilaporkan berkata kumpulan penceroboh itu sepatutnya menerima tawaran menyerah diri dan keluar daripada kawasan itu secepat mungkin.
   
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula dilaporkan berkata Malaysia telah memberi tempoh sewajarnya untuk mengusir penceroboh itu supaya berundur dan pulang ke tanah air mereka.
   
Beliau juga berkata Malaysia sudah banyak berlembut dengan memberi ruang secukupnya dalam beberapa siri rundingan dan kaedah diplomasi.

NONESementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) mengucapkan takziah kepada keluarga dua anggota keselamatan negara, Inspektor Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin dari Unit 69 Komando yang terkorban dalam insiden bersenjata di Lahad Datu, Sabah hari ini.

"Kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dan menteri yang bertanggungjawab menjaga urusan keselamatan dan pertahanan negara sewajarnya tampil menjelaskan kepada rakyat tentang peristiwa berdarah ini," katanya dalam satu kenyataan.

Anwar bertanya mengapa sebegitu mudah sempadan negara dibolosi oleh sekumpulan warga asing bersenjata dan mengapakah kerajaan begitu berkompromi dalam menyelesaikan isu ini.

"Isu keselamatan negara tak sewajarnya dipandang remeh dan diambil mudah oleh pihak kerajaan. Rakyat perlu diberikan maklumat mengenai apa yang berlaku," tegas Anwar.
   
Sementara itu, mayat kedua anggota polis yang terkorban itu dibawa ke Hospital Lahad Datu. Dua anggota polis yang cedera pula diterbangkan ke hospital yang sama untuk dirawat manakala seorang lagi diterbangkan ke sebuah hospital di Sandakan.
   
Pasukan keselamatan mula mengepung Kampung Tanduo pada 11 Februari apabila kira-kira 150 lelaki berpakaian ala tentera dan bersenjata menaiki bot pancung menceroboh ke kawasan itu pada 9 Februari dan menjadikan beberapa premis termasuk
 rumah dan surau di kampung berkenaan sebagai pangkalan mereka.
   
Kampung Tanduo yang diduduki kumpulan itu terletak di kawasan terpencil, kira-kira 130 kilometer dari Lahad Datu.
   
azlanKumpulan itu yang didakwa diketuai Agbimuddin Kiram mendakwa mereka adalah tentera 'Raja Sulu' dan menuntut Malaysia mengiktiraf Sabah sebagai milik Kesultanan Sulu.
   
Sejak itu, Malaysia mengadakan beberapa siri rundingan dan menetapkan 22 Februari lepas sebagai tarikh akhir untuk pengusiran mereka.
   
Bagaimanapun Malaysia melanjutkan lagi tempoh pengusiran mereka kepada 26 Februari sementara menunggu sebuah kapal tentera Filipina tiba untuk membawa kumpulan penceroboh itu pulang ke tanah air mereka.
   
Isnin lepas, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata polis akan bertindak berlandaskan undang-undang negara selepas mengambil kira pelbagai faktor bagi merungkai isu pencerobohan rakyat Filipina itu.
   
Hamza menegaskan pihaknya akan menggunakan undang-undang negara untuk mendakwa mereka yang kini dalam kepungan pihak keselamatan bagi memastikan tiada yang terlepas keluar dan tiada orang yang tidak berkenaan memasuki kawasan itu.

NONEDua komando yang terbunuh ialah Inspektor Zulkifli Mamat dan Koperal Sabarudin Daud.

Manakala seorang daripada tiga cedera itu dalam keadaan kritikal, dan mereka sedang dirawat di hospital.

Mereka adalah dari VAT69, unit komando elit polis yang ditugaskan membanteras komunis, dan kemudiannya ditugaskan untuk gerakan anti-keganasan dan menjalankan operasi khas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula, dalam tweetnya berkata, beliau berlepas ke Sabah untuk mendengar taklimat mengenai keadaan terkini di Lahad Datu.

Sementara itu, seorang jurucakap kesultanan Sulu mendakwa 10 orang terbunuh dan empat lagi cedera dalam pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan penceroboh kesultanan Sulu di Lahad Datu pagi ini.

ABS-CBNnews melaporkan jurucakap Abraham Idjirani sebagai berkata dia baru bercakap sendiri dengan adik Sultan Sulu Jamalul Kiram - Azzimudie Kiram - yang mengetuai kumpulan bersenjata di Lahad Datu itu.

Azzimudie mengesahkan bahawa 10 lelaki terbunuh dan empat yang lain cedera dalam insiden tersebut.

"Dia melihat sendiri mayat-mayat tersebut," kata Idjirani dalam satu sidang akhbar di Manila.

"Yang terbunuh termasuk seorang wanita."

NONEIdjirani merayu kepada kerajaan Malaysia supaya menghentikan
serangan itu, dan berkata orang-orang Azzimudie hanya bersenjatakan bolos (parang) dan pisau dan hanya beberapa orang bersenjatakan senapang.

Beliau mendakwa bahawa komando polis Malaysia telah menggunakan penembak tepat ke atas pengikut Azzimudie.

Akhbar berbahasa Cina, China Press pula memetik sumber yang tidak disahkan di tempat kejadian, yang mendakwa dua penceroboh telah ditembak mati, manakala tiga anggota tentera Malaysia cedera.

Bagaimanapun, ABS-CBNnews melaporkan bahawa Duta Malaysia ke Filipina telah mengesahkan berlaku insiden menembak antara kedua-dua pihak tetapi tiada sebarang kematian.

Jurucakap Jabatan Hal Ehwal Luar Filipina (DFA) Raul Hernandez memberitahu agensi berita bahawa Setiausaha Luar Filipina Albert del Rosario baru sahaja berbincang dengan duta Malaysia, yang mengesahkan berlaku insiden menembak di Lahad Datu tetapi ia sudah dihentikan.

Beliau berkata Manila sedang memantau keadaan.

Sementara itu, Azzimudie memberitahu Radio dzMM Filipina bahawa kumpulannya tidak akan kembali ke Filipina kerana ia akan "memalukan" mereka dan kesultanan Sulu.

"Kita tidak boleh pulang ke Filipina kerana ia akan memalukan kita. Kami telah menegaskan niat kami datang ke sini," Azzimudie dipetik sebagai berkata.

Menurutnya, dia dan 275 pengikutnya mahu tinggal di Kampung Tanduo di Lahad Datu manakala kerajaan Filipina sedang mengadakan perbincangan dengan kerajaan Malaysia untuk menyelesaikan isu itu.

"Mereka boleh meneruskan rundingan secara aman...," tambahnya.

Manakala Sultan Sulu Jamalul Kiram memberitahu Radio dzMM bahawa dia tidak akan memerintahkan pengikutnya untuk menyerah diri walaupun berlaku kejadian berbalas tembak, tetapi menegaskan pintu rundingan masih terbuka.

Menurut ANC Dateline Filipina, jurucakap Sultan Sulu Jamalul Kiram - Abraham Idjirani - kesultanan itu tidak akan membalas dendam terhadap kematian pengikutnya, dan menegaskan kumpulan itu mahu ia diselesaikan secara aman.

Idjirani berkata mereka akan membawa perkara itu ke perhatian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan mungkin meminta Pertubuhan Persidangan Islam untuk campurtangan.

The Philippine Inquirer
pula memetik Jamalul Kiram menafikan laporan bahawa adiknya, Azzimudie telah ditangkap oleh pihak berkuasa Malaysia.

Idjirani berkata, keluarga diraja itu masih dapat bercakap dengan Azzimudie, yang disebut sebagai Raja Muda.

"Kita bercakap dengan beliau. Beliau tidak cedera dan masih mengetuai perjuangan itu, " katanya.

Sekitar jam 3.25 petang tadi, Jabatan Luar Filipina berkata tiga orang mati dan 10 telah ditangkap dalam kejadian itu, lapor AFP.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.