Najib: BN akan bentang manifesto 'janji yang ditepati'

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) akan membentangkan manifesto yang akan menyedarkan rakyat bahawa
bila BN buat sesuatu, ia yakin bahawa ia janji yang ditepati.

"Manifesto BN ialah apa yang akan BN lakukan lima tahun akan datang dan apa yang telah dilakukan dalam masa empat tahun ini," kata perdana menteri kepada pemberita hari ini ketika diminta mengulas pembentangan manifesto pembangkang baru-baru ini yang dilihat tidak realistik oleh banyak pihak.

Pengerusi BN itu berkata manifesto BN tidak langsung akan berpandukan manifesto pakatan pembangkang yang tidak ubah seperti "silap mata politik semata-mata mahu menyedapkan rakyat yang mendengar".
    
Kerajaan akan memperjelas kepada rakyat tidak lama lagi bahawa manifesto pembangkang merupakan suatu yang tidak boleh ditunaikan.
    
"Kita kena lihat secara menyeluruh manifesto pembangkang itu, sebab ada perkara yang disebut tidak diberi angka yang tepat," katanya selepas melancarkan Pusat Transformasi Luar Bandar Kuala Pahang di Pekan yang dihadiri 15,000 orang.
    
"Contohnya (pembangkang) hendak kurangkan harga elektrik, harga minyak, bekalan air, hapuskan tol, pendidikan percuma dan jika ada kuasa, akhir penggal lima tahun pemerintahannya pendapatan setiap isi keluarga mencecah RM4,000 sebulan.
    
"Tetapi dia tidak menyatakan bagaimana hendak melakukan dan apakah peruntukan dan dana yang perlu dikeluarkan untuk mereka sampai ke tahap itu, bila harga minyak dikurangkan, tidak sebut banyak mana," katanya.
    
Oleh itu, kata perdana menteri, jelas ada silap mata politik dalam hal ini.
    
"Untuk bagi sedap orang mendengarnya dan bila turun padang lihat kelompok yang dia (pembangkang) akan beri ucapan, (berdasarkan) kalau kelompok suka sesuatu isu, dia akan sebut perkara itu dan bila di tempat lain (dia akan) sebut isu lain, tidak sebut keseluruhan (manifesto)," katanya.

Najib berkata BN akan bertindak balas dalam masa terdekat ini dengan memperjelas setiap janji pilihan raya pembangkang yang ternyata tidak boleh, dan tidak mungkin ditunaikan, sebab jika dicuba juga, pasti akan membawa kepada keruntuhan ekonomi negara.
    
Mengenai RTC, Najib berkata pusat berkenaan membolehkan penduduk di kawasan sekitarnya mendapat pelbagai perkhidmatan kerajaan dengan selesa, selain bakal menjana pembangunan sosioekonomi penduduk sekitar.
    
"Saya hendak jelaskan bahawa faedah yang boleh diperoleh masyarakat di sini dan mereka yang mengunjungi pusat RTC Kuala Pahang, ialah pelbagai perkhidmatan kerajaan tersedia dengan selesa dan istimewa.
    
"Di sini ada juga Kedai Kain 1Malaysia dengan harga yang dijual cukup rendah pada tahap yang sukar dipercayai dan sudah tentu menambahkan kuasa pembeli dalam kalangan masyarakat setempat," katanya.
    
Di RTC itu juga, katanya, akan disediakan pusat kegiatan rekreasi dan kafe, kedai Roti 1Malaysia oleh Fama dan pusat tumpuan pelajar (Universiti Malaysia Pahang) dan penduduk kampung Kuala Pahang.
    
Najib turut melahirkan rasa kagum kerana pusat berkenaan yang berharga RM3.5 juta, disiapkan hanya dalam tempoh dua minggu.
    
"Ia akan memberi impak besar dan cukup pantas dan perbelanjaan minimum, sebab itu kita boleh anggap ia kemudahan rakyat dan menepati falsafah Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).
    
"Saya berharap ia dapat mendekatkan pengeluar dan pembeli serta pasaran, kerana kita tidak boleh tingkatkan atau melonjakkan pendapatan petani, penternak dan nelayan kecuali mendekatkan mereka dengan pasaran dan kalau boleh produk yang dijual, dibeli dengan jumlah yang besar," katanya.
    
Perdana menteri berharap kedua-dua pihak mendapat keuntungan daripada transaksi ini dan secara langsung mengawal inflasi.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.