Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah telah terlebih dahulu memulakan serangan terhadap pasukan keselamatan Malaysia apabila mereka mara 1.5 kilometer dari tempat mereka berkampung sebelum ini.

    

Perdana menteri berkata beliau telah memberi mandat kepada ketua polis negara dan panglima angkatan tentera untuk mengambil sebarang tindakan terhadap kumpulan penceroboh bersenjata itu dan tiada kompromi lagi.

    

Najib turut mengesahkan dua anggota keselamatan Malaysia terbunuh dan tiga lagi cedera manakala 10 hingga 12 anggota kumpulan penceroboh itu terbunuh.

    

"Mereka (polis dan tentera) akan diberi kuasa sepenuhnya untuk bertindak dengan apa saja mengikut budi bicara mereka tetapi kumpulan ini mesti ditumpaskan dan mereka mestilah diambil tindakan yang sepatutnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian tembak-menembak  antara pasukan keselamatan negara dengan kumpulan penceroboh yang diketuai adik Sultan Jamalul Kiram III, Agbimuddin Kiram, yang telah berkubu di Felda Sahabat 17 di Tungku, Kampung Tanduo, daerah Lahad Datu sejak 9 Februari lepas.

"Saya tidak lagi buat keputusan. Terserah kepada mereka (panglima ATM dan ketua polis negara) untuk ambil tindakan...mereka akan diberikan kuasa sepenuhnya.

    

"(Kini) sama ada mereka (penceroboh) menyerah diri atau mereka terima apa jua kesan daripada tindakan mereka," kata Najib.

    

Perdana menteri berkata kumpulan itu kini dikepung sepenuhnya dan pasukan tentera laut negara telah meningkatkan tahap keselamatan di perairan bagi mengelakkan kumpulan itu melarikan diri.

    

Beliau turut melahirkan rasa kesal dengan kejadian itu kerana sepatutnya pertumpahan darah mahu dielak daripada berlaku, akibatnya kini negara kehilangan dua anggota keselamatan.

    

Terdahulu Najib melancarkan jentera pilihan raya kawasan parlimen Pekan di Dewan Konvensyen Pekan yang dihadiri kira-kira 5,000 orang.

- Bernama

ADS