'Serah diri atau hadapi tindakan pihak berkuasa M'sia'

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini  memberi kata dua kepada kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu supaya menyerah diri atau berdepan sebarang tindakan yang akan diambil pihak berkuasa Malaysia.
   
Perdana menteri berkata masa untuk mempertimbangkan apa juga permintaan kumpulan penceroboh yang mendakwa sebagai tentera Kesultanan Sulu dari Filipina sudah berakhir.
   
Kerajaan Malaysia amat bertegas dalam hal ini, kerana jenayah yang dilakukan oleh kumpulan penceroboh itu amat serius, katanya kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah dua anggota polis Komando VAT 69 yang terkorban dalam pertempuran dengan kumpulan penceroboh itu di Pangkalan Tentera Udara Diraja (TUDM) Subang hari ini.
   
"Saya telah menelefon Presiden Filipina Benigno Aquino Jr II berhubung pendirian kerajaan Malaysia itu malam tadi, dan beritahu padanya bahawa setelah berlakunya kejadian tembak menembak pagi semalam, kerajaan mengambil pendirian bahawa masa untuk mempertimbangkan apa jua permintaan kumpulan tersebut sudah berakhir.
   
"Dan mereka hanya ada dua pilihan iaitu sama ada menyerah diri ataupun menerima apa-apa tindakan yang akan diambil oleh pihak berkuasa dan pihak keselamatan," katanya.

Najib berkata tindakan mereka menceroboh ke negara ini dengan bersenjata, dan diikuti dengan pembunuhan dua anggota keselamatan negara serta mencederakan tiga lagi anggota polis Komando VAT 69 bererti mereka telah melakukan jenayah yang cukup berat.
   
Untuk itu, kerajaan tidak akan membuka pintu rundingan lagi ataupun mempertimbang permintaan mereka, tegasnya.
   
Bagaimanapun, Najib enggan mengulas mengenai tempoh yang akan diberikan kepada kumpulan penceroboh itu untuk menyerah diri dengan hanya berkata: "perkara itu saya tidak dapat dedahkan atas sebab-sebab taktikal." 

Sementara itu,  Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Husseinberkataselepas insiden tembakan semalam yang mengorbankan dua anggota komando polis (VAT 69), kumpulan penceroboh warga Filipina yang bersenjata di Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari sini, tidak mempunyai pilihan lain.
    
"Selepas insiden semalam, mereka (penceroboh) tidak ada pilihan lain sama ada mereka letak senjata dan menyerah diri atau terpaksa berhadapan dengan apa jua tindakan yang pihak berkuasa terpaksa ambil," katanya pada sidang akhbar mengenai insiden tersebut di Felda Sahabat 16, kira-kira 130km Lahad Datu hari ini.
    
Hishammuddin tiba pagi ini dan akan berada di Sabah sehingga kes pencerobohan membabitkan kumpulan itu selesai.
    
Sejurus tiba di Felda Sahabat 16, Hishammuddin bersama Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar mendengar taklimat daripada Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib mengenai insiden tembak menembak antara pasukan keselamatan negara dengan kumpulan itu di Kampung Tanduo di Felda Sahabat 17, semalam.

Kejadian kira-kira 10 pagi itu menyaksikan dua anggota komando polis VAT 69 terkorban manakala 12 penceroboh bersenjata terbabit turut maut. Ia turut mencederakan tiga lagi anggota pasukan keselamatan Malaysia.
    Dalam sidang media yang sama, Ismail berkata, pada masa ini polis sudah tidak mempunyai pilihan lain, selain menamatkan insiden itu secepat mungkin berikutan tindakan kumpulan penceroboh itu semalam.
    
"Selepas apa yang berlaku semalam, situasi semasa adalah terkawal. Kumpulan tersebut telah terkepung di Kampung Tanduo oleh pasukan keselamatan yang berada dalam keadaan "kami mengawal keadaan".
    
"Polis dan pasukan keselamatan mengawal keadaan, dan kumpulan ini terperangkap di Kampung Tanduo. Saya nak beri amaran kepada mereka dalam keadaan semasa kini, elok mereka serah diri. Masa sudah banyak diberi. Perbuatan mereka ini telah tidak memberi pilihan lain kepada saya.
    
"Saya tidak ada pilihan sekarang selain untuk mengambil tindakan yang ada untuk menangkap mereka. Sekali lagi saya minta mereka letak senjata dan serah diri. Jika tidak saya tidak ada pilihan tetapi akan  mengambil tindakan drastik dan tindakan sewajarnya bagi menamatkan keadaan," tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa penceroboh yang menyerah diri kelak tetap akan diambil tindakan berdasarkan undang-undang Malaysia kerana kumpulan berkenaan sudah melakukan kesalahan yang amat serius di negara ini.
    
Ismail berkata kehidupan seharian di Lahad Datu berjalan seperti biasa dan tidak ada perintah berkurung diisytiharkan, manakala kawasan operasi polis ialah di kawasan Kampung Tanduo.
    
Katanya, polis turut mempertingkat langkah keselamatan melalui sekatan-sekatan jalan raya dan keadaan itu akan diteruskan.
    
Sementara itu,  perdana menteri berkata, dua anggota polis komando VAT 69 yang terkorban dalam insiden tembak menembak dengan kumpulan penceroboh bersenjata ari Selatan Filipina dinaikkan pangkat.
    
Najib berkata Inspektor Zulkifli Mamat, 29, dinaikkan pangkat kepada Asisten Superitendan Polis (ASP), dan Koperal Sabarudin Daud, 46, kepada Sarjan.
    
"Saya juga telah berbincang dengan (Timbalan Ketua Polis Negara) Tan Sri Khalid Abu Bakar bahawa sebagai pertimbangan istimewa kedua-dua perwira kita akan dinaikkan pangkat," katanya kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah dua anggota itu di pangkalan Tentera Udara Diraja (TUDM) Subang d.

Najib berkata kerajaan dan pihak polis juga akan mempertimbangkan pemberian-pemberian yang lain, dan ia akan dimaklumkan kepada anggota
keluarga Allahyarham Zulkifli dan Sabarudin, selepas proses urusan pengebumian.
    
"Kita tidak akan lupa jasa, budi serta pengorbanan besar yang telah dilakukan oleh kedua-dua perwira negara kita," katanya.

Sementara itu, Khalid berharap kenaikan pangkat dua anggota berkenaan dapat melegakan dan meringankan beban anggota keluarga.
    
"Bagi pihak Polis Diraja Malaysia, kami berasa bangga dan terharu dengan pengorbanan mereka," katanya.
    
Menyentuh mengenai keadaan di Lahad Datu, Khalid berkata maklumat berhubung situasi terkini hanya boleh dilakukan Ketua Polis Negara  dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib.
    
"Perkembangan barkaitan isu di Lahad Datu tidak boleh dikeluarkan sewenang-wenangnya," katanya yang turut menyampaian ucapan takziah kepada
keluarga kedua-dua wira negara itu.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.