Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Utusan: Anwar jumpa Nur Misuari ada kaitan janji
Diterbitkan:  Mar 3, 2013 3:47 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Satu laporan akhbar Mingguan Malaysia hari ini mendakwa pertemuan di antara ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin pemberontak bersenjata Filipina, Nur Misuari ada kaitan dengan janji yang ditawarkan pemimpin Pakatan Rakyat.

Laporan yang memetik sumber yang didakwa sebagai "risikan " Angkatan Tentera Malaysia itu mendakwa, pertemuan tersebut dijalankan beberapa bulan sebelum kejadian pencerobohan di Lahad Datu, Sabah dan turut melibatkan pemimpin pembangkang negeri itu, Datuk Dr Jeffrey Kitingan.

"Memang berlaku pertemuan antara Anwar dengan Nur Misuari dan Jeffrey dengan salah seorang pemimpin Kesultanan Sulu. Ia dipercayai berkait dengan beberapa janji yang ditawarkan pihak pembangkang," kata sumber yang tidak dinamakan dalam laporan tersebut.

Laporan tersebut turut juga memetik laporan portal berita Filipina, Inquirer News berhubung kenyataan agensi risikan negara itu.

"Malah secara terbuka, agensi perisikan Filipina mengaitkan nama Anwar apabila mendedahkan seorang pemimpin pembangkang Sabah yang rapat dengan ketua pembangkang mengadakan pertemuan dengan pihak penceroboh dan menawarkan jaminan sokongan," laporan Utusan dipetik.

Jeffrey dalam laporan sama pula menafikan bahawa beliau merupakan individu yang dimaksudkan dalam laporan media Filipina itu.

Bagaimanapun beliau mengakui ada mengadakan pertemuan dengan Raja Muda Kesultanan Sulu pada Julai dan September tahun lalu.

"Itu bukan yang terlibat dalam pencerobohan, yang datang Sabah bulan Julai tahun lalu ialah Raja Muda Sulu. Dia datang untuk menjemput saya hadir ke pertabalan beliau sebagai Sultan Sulu di Pulau Jolo dalam bulan September tetapi saya tidak dapat hadir.

"Dia adalah kawan saya dan menentang pencerobohan," katanya.

Semalam, akhbar itu menyeret Anwar ke kancah isu tersebut dengan menyiarkan laporan sebuah laman blog MPP Online yang memetik akhbar Inquirer News dari Filipina sebagai sumber dakwaan.

ADS