SPR Sabah: Tak timbul soal tangguh p'raya

Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Sabah, Datuk Idrus Ismail berkata suruhanjaya itu akan membuat keputusan berhubung penangguhan pilihan raya “apabila tiba masanya” jika darurat terpaksa diisytiharkan di negeri itu.

“Kita akan putuskan apabila tiba masanya. Marilah kita (bersikap) positif dan berdoa agar (kejadian pertempuran melibatkan penceroboh asing) akan tamat secepat mungkin,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada pilihan raya boleh ditangguhkan sekiranya darurat diisytiharkan selepas parlimen dibubarkan.

Idrus diminta menjelaskan perkara itu susulan serangan demi serangan oleh penceroboh bersenjata di kawasan pantai timur Sabah.

Katanya, pilihan raya tersebut tetap perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas parlimen dibubarkan.

“Tidak timbul sebarang penangguhan kalau perdana menteri sudah bubar parlimen. Ikut undang-undang, pilihan raya umum mesti diadakan dalam 60 hari,” katanya.

Beliau juga menyerahkan isu berkenaan untuk diputuskan pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Yusof.

Abdul Aziz pula ketika dihubungi Malaysiakini berkata beliau perlu mengkaji peruntukan undang-undang sebelum dapat memberi kenyataan berhubung soal berkenaan.

"Biar saya kaji dulu dengan teliti semua undang-undang yang berkaitan sebelum menjawab soalan-soalan," katanya melalui SMS kepada Malaysiakini.

Beliau ditanya demikian hari ini susulan serang hendap oleh satu pasukan bersenjata ke atas sepasukan anggota polis kita di Semporna, Sabah dalam kejadian pada malam tadi.

Serangan mengorbankan lima orang polis dan dua penceroboh itu berlaku susulan pertempuran pertama di Lahad Datu pada hari Jumaat lalu, yang mengorbankan dua orang anggota keselamatan.

Seramai 100 orang penceroboh dianggarkan masih terkepung di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan polis menyatakan kumpulan penceroboh juga mendarat dan menyusup ke dua buah kampung di Kunak yang terletak di antara Semporna dan Lahad Datu.

Jumlah kematian melibatkan anggota kita kini meningkat kepada tujuh orang dalam tempoh dua hari dalam kejadian serangan dipercayai paling buruk sejak pemberontakan komunis.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.