Warga Kg Tanduo hidup tidak menentu

Ben Hamid, 48, hanya mampu merenung ke arah laut yang tenang. Beliau yang kini tinggal di satu khemah sementara kini tertanya-tanya apa yang berlaku di rumahnya di Kampung Tanduo, Sabah.

Pada malam 11 Februari, Ben, seperti nelayan lain di kampungnya melepaskan lelah dan tidur selepas bekerja keras seharian.

Beliau bagaimanapun mendapati ada seorang tetamu yang tidak diundang diluar rumahnya ketika dia bangun pada keesokan harinya.

"Ada yang berpakaian seragam tentera. Ada yang tidak. Saya melihat mereka membawa M16 dan ada yang memegang parang. Mereka mungkin datang dari laut," katanya.

Beliau berkata, ada penduduk kampung yang nampak mereka memasuki kampung tersebut pada jam 2 pagi.  

Menjelang pagi, kira-kira 50 orang penceroboh sudahpun tiba di kampung itu walaupun pemimpin mereka masih belum tiba.

"Mereka hanya duduk di sekitar berhampiran rumah kami dan bercakap antara satu sama lain," katanya.

Penceroboh yang kemudiannya menghampiri mereka dan mendakwa sebagai Tentera Diraja Sulu telah cuba meyakinkan penduduk tempatan bahawa mereka tidak membahayakan.

"Mereka kata, mereka berada di sini untuk menuntut hak-hak mereka dan hak sultan mereka," kata Ben.

Tambahnya lagi, penduduk kampung mula panik dengan perkembangan mendadak itu dan ramai di antara mereka memutuskan untuk meninggalkan kampung itu menjelang jam 9 pagi.

"Mereka (tentera Sulu) tanya, kenapa kami lari. Mereka kata mereka hanya ingin jadi kawan. Tetapi apabila kami melihat mereka, kami dapat rasa sesuatu yang tidak elok dan mahu lari," katanya.

Maka, bermulalah penghijrahan beramai-ramai. Bagi mereka yang mempunyai kenderaan, mereka terus keluar dari kampung manakala selebihnya berjalan kaki ke kampung berdekatan, Tanjung Labian - sejauh kira-kira lima kilometer.

[Baca berita penuh]
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.