Polis cari saki baki kumpulan bersenjata

VIDEO | 1:43 minit

Ketua polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata pasukan itu masih menyiasat sama ada masih terdapat kumpulan bersenjata di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna.

NONEKatanya kumpulan berkenaan kurang daripada 10 orang dan polis menemui enam mayat di Kamung Sri Jaya Simunul dan juga satu lagi di Kampung Senallang lama.

Kampung Seri Jaya Simunul merupakan lokasi serang hendap yang dijalankan kumpulan bersenjata tersebut – mengorbankan enam orang anggota pasukan kita yang memasuki kawasan tersebut pada Sabtu malam lalu.

Mayat anggota berkenaan dibawa keluar dalam satu operasi polis pada malam tadi. Pasukan berkenaan turut menemui enam mayat tidak dikenali dalam operasi tersebut.

Seorang daripada anggota kumpulan bersenjata berkenaan melarikan diri ke Kampung Senallang Lama, Semporna semalam dan cuba menjadikan sekumpulan penduduk kampung sebagai tebusan.

Lelaki tersebut bagaimanapun mati di tangan penduduk kampung berkenaan.

Hamza berkata Jabatan Siasatan Jenayah sedang cuba mengenalpasti identiti kumpulan bersenjata tersebut, sama ada mereka merupakan penduduk tempatan atau kumpulan dari luar.

Tambahnya, jenazah anggota pasukannya yang gugur itu akan dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing melalui Tawau hari ini.

Berikut adalah senarai nama pegawai dan anggota polis yang gugur dalam operasi tersebut:

  • Supt G/10768 Ibrahim Lebar, Cawangan Khas Bukit Aman, dari Selangor
  • ASP G/15013 Micheal Padel, Ketua Cawangan Khas Semporna, dari Sarawak
  • SJN/D 110204 Baharin Hamit, Ibu Pejabat Kontinjen Cawangan Khas Bukit Aman, dari Sabah
  • SJN124082 Aziz Sarikun, Batallion 14, Pasukan Gerakan Am Tawau, dari Sabah
  • KPL/S 12675 Salam Togiran, Unit Pengangkutan, ibu pejabat polis daerah Tawau, dari Sabah
  • L/KPL 160475 Mohd Azrul Tukiran, Batallion 14, Pasukan Gerakan Am, dari Selangor
Hamza juga berkata, pasukan tersebut kini memantau keadaan di Kunak, di mana sekurang-kurangnya 10 orang penceroboh dilaporkan dilihat di kawasan tersebut.

Ketua polis negara Tan Sri Ismail Omar semalam berkata sekurang-kurangnya 10 orang mendarat di Kunak – tiga daripada memakai celoreng tentera.

Polis kemudiannya bertindak mengepung dua perkampungan terbabit, Kampung Lomalong dan Kampung Dasar Lama, yang disyaki menjadi tempat persembunyian kumpulan terbabit.

[Baca berita penuh]
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.