Lokman Adam akui pernah jadi penasihat 'Sultan Sulu'

Exco Pemuda Umno Lokman Adam berkata, beliau sememangnya pernah menjadi penasihat kepada Sultan Sulu yang "diiktiraf" kerajaan Malaysia, Sultan Roodinood Julaspi Kiram pada tahun 2005 hingga 2006.

Menurut Lokman, pelantikan beliau sebagai penasihat bagi anak kepada Sultan Julaspi Kiram itu bertujuan untuk membantu urusan dengan kerajaan Malaysia berhubung kebajikan mereka.

"Saya akui, saya pernah dilantik oleh Sultan Sulu yang sebenar iaitu Sultan Roodinood, anak kepada Sultan Julaspi Kiram sebagai penasihat beliau sekitar tahun 2005 untuk berurusan dengan kerajaan Malaysia berhubung kebajikan mereka.

"Saya juga akui pernah mencetak kad nama jawatan tersebut bagi urusan rasmi dengan kerajaan Malaysia. Untuk pengesahan perkara ini, anda boleh merujuk kepada menteri luar pada ketika itu, Tan Sri Syed Hamid Albar," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Lokman berkata demikian bagi menjawab dakwaan Naib Presiden PKR Tian Chua di dalam laman sosial Twitter yang menulis: "Rakan saya dalam ISA mungkin boleh bantu menyelesaikan krisis di Sabah dengan rundingan."

Dalam tulisan berkenaan Tian turut memuatkan gambar kad nama Lokman dengan jawatan "Penasihat Sultan".

Tian menimbulkan perkara itu selepas blog pro-BN menurutnya menyiarkan berita palsu bahawa beliau menghina anggota keselamatan yang maut akibat serangan penceroboh di pantai timur Sabah sebagai "komando mati katak".

Katanya, penulis blog berkenaan mendakwa beliau menyebut demikian dalam satu ceramah di Puchong, sedangkan beliau berada di Johor pada waktu itu.

Beliau juga tidak pernah melafazkan kenyataan tersebut, yang didakwanya ditimbulkan untuk mencemarkan imej beliau, kata MP Batu itu.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.