SPRM jangka aduan rasuah meningkat menjelang PRU13

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjangkakan aduan dan maklumat yang dilaporkan kepada agensi itu berhubung rasuah akan meningkat menjelang pilihan raya umum ke-13, berbanding 2008.

NONEKetua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abu Kassim Mohamed berkata berdasarkan suasana politik sekarang dengan pelbagai isu yang dibangkitkan dan pengalaman lepas, aduan berhubung rasuah akan meningkat secara mendadak apabila tiba musim pilihan raya.

"Setiap kali pilihan raya jumlah maklumat mengenai rasuah akan meningkat, itu yang pasti. Lagi dekat, lagi banyak maklumat rasuah...(perkara) yang sudah lama pun naik balik, yang dah lupa pun dia ingatkan balik.

"Bagi kami, kami akan terima semua maklumat dan laporan itu, dan sekiranya ia kesalahan rasuah, kami akan menjalankan siasatan tidak kira siapa mereka yang ditohmah," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Mengikut stastik, beliau berkata SPRM mencatatkan aduan/maklumat tertinggi pada pilihan raya umum ke-12 (2008) iaitu sebanyak 15,804 aduan/maklumat, tahun tertinggi jumlahnya sejak 2003.

Pada pilihan raya umum ke-11 jumlah aduan/maklumat rasuah ialah 11,413.

Katanya daripada maklumat yang diterima pada 2008 (15,804), seramai 603 orang ditangkap dan 208 orang dituduh di mahkamah berikutan pembukaan kertas siasatan terhadap 1,390 orang.

Pada 2004, seramai 497 orang ditangkap dan 178 orang dituduh di mahkamah daripada 982 kertas siatasan yang dibuka.

Mengikut stastik, sebanyak 11,765 maklumat diterima SPRM tahun lalu dan sebanyak 1,078 kertas siasatan dibuka. Hasil siasatan, 701 orang ditangkap dan 350 orang dituduh.

Abu Kassim berkata selain SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga diberi tanggungjawab untuk menerima dan menyiasat kes-kes berhubung rasuah di bawah Akta Suruhanjaya Pilihan Raya.

"Cadangan kami ialah menubuhkan sebuah jawatankuasa dan kami boleh koordinasi antara pihak SPR, PRDM dan SPRM, kerana polis juga mempunyai cawangan di seluruh negara termasuk di tempat-tempat terpencil dan mereka boleh terima laporan itu.

"Kami sudah pun buat penyelarasan, koordinasi akan dibuat dari semasa ke semasa. Kami berharap dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan dengan adanya penyelarasan dan kordinasi antara SPRM, SPR dan PDRM ," katanya.

-Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.