Mindef: ATM sedia ambil alih kawal pantai timur Sabah

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kini bertindak sebagai barisan kedua dalam membantu mengawal keselamatan di pantai timur Sabah berikutan insiden pencerobohan kumpulan bersenjata yang setakat ini mengorbankan lapan anggota keselamatan dan 19 anggota kumpulan itu.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Dr Abdul Latif Ahmad berkata pada ketika ini ATM bertindak sebagai barisan kedua bagi meyakinkan tahap keselamatan rakyat negeri itu.

"Sekarang ini ia (insiden) di bawah Kementerian Dalam Negeri...PDRM (Polis Diraja Malaysia) yang diberi kuasa untuk menangani atau ketuai situasi itu.

"Buat masa ini, kami (ATM) hanya dalam keadaan siap siaga. Bila suruh ambil alih, kami ambil alih," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran buku Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) di Kementerian Pertahanan di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tindakan ATM dalam menangani insiden di Lahad Datu.

Abdul Latif berkata rakyat berhak mengetahui perkembangan dan maklumat yang tepat tentang apa yang berlaku di Sabah, namun berharap mereka tidak mengeluarkan sebarang spekulasi berhubung insiden itu.

Sementara itu, di Lahad Datu, Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin mengesahkan penambahan kekuatan logistik taktikal dan batalion dari luar Sabah dalam membantu polis menjaga keamanan di pantai timur negeri ini.

"Kami akan berkolaborasi dengan polis bagi menjaga keamanan dan kesejahteraan rakyat Sabah," katanya pada sidang akhbar di situ yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Tinjauan Bernama di kawasan Felda Sahabat 17 di Lahad Datu mendapati pihak berkuasa keselamatan menempatkan unit kereta perisai di kawasan itu.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.