Najib: Kerajaan tetap mempertahan kalimah Allah

Kerajaan akan tetap mempertahan kalimah Allah selaras dengan prinsip yang terkandung dalam Maqasid Syariah atau objektif
syariah dalam Islam, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.
    
Perdana menteri berkata lima perkara yang terangkum dalam Maqasid Syariah iaitu memelihara dan menjaga agama, nyawa, akal, keturunan dan harta - ialah juga perkara-perkara yang diperjuangkan kerajaan.
    
NONEMalah, katanya, berdasarkan kajian antara negara-negara Islam di dunia dari segi pematuhan kepada prinsip-prinsip Maqasid Syariah, mengikut para ulama, Malaysia berada antara tempat tertinggi dalam memperjuang objektif-objektif berpandukan kepada Maqasid Syariah.
    
"Kita ambil dalam soal agama, mempertahankan akidah, mempertahankan kesucian agama Islam, mempertahankan kalimah Allah, ini diperjuangkan oleh Al-Quran.
    
"Kita tak main politik dalam hal ini... satu ketika setuju dengan orang lain, selepas itu pusing balik tak setuju... Kita istiqamah dalam hal kalimah Allah. Kerajaan yang ada pada hari ini, tetap akan mempertahankan kalimah Allah," katanya ketika menyampaikan amanat pada majlis Perhimpunan Perdana Ulama-Umara dan Asnaf di Stadium Putra Bukit Jalil hari ini.
    
NONETurut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Othman Mustapha.
    
Kira-kira 16,000 orang hadir pada pertemuan terbesar golongan ulama-umara dan asnaf bersama Perdana Menteri itu. Asnaf ialah mereka yang dikategorikan
 
sebagai fakir dan miskin, peniaga-peniaga kecil, pemandu teksi dan para pelajar yang menerima bantuan zakat (kumpulan ini) daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
    
Sehubungan itu, Najib berkata melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), kerajaan memberi penekanan kepada mengurangkan indeks jenayah yang dimulakan sejak 2009 dan terus diberi perhatian.
    
Kerajaan juga memberi tumpuan kepada pembangunan sistem pendidikan melalui proses pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, katanya.
    
NONEDalam menangani isu moral, kerajaan memberi penekanan kepada nilai budaya murni dan menentang fahaman songsang seperti seks bebas, sumbang mahram mahupun LGBT.

Najib berkata bagi memelihara dan membangunkan maslahah harta, kerajaan beriltizam untuk terus memajukan ekonomi negara.
    
"Alhamdulillah, tahun lepas, kita dapat kadar pertumbuhan 5.6 peratus, antara yang tertinggi di dunia dan kita juga berjaya

mengukuhkah Malaysia sebagai hab kewangan Islam yang paling berjaya di dunia," katanya.
    
Sehubungan itu, katanya, demonstrasi jalanan ala Arab Spring hanya akan mengorbankan harta benda termasuk nyawa manusia dan ia bukan sesuatu yang sesuai untuk Malaysia.
    
NONEMalah, katanya, pada hari ini negara-negara yang berlaku keadaan itu masih belum lagi pulih dan ada yang lebih berat masalahnya daripada sebelum itu.
    
Katanya kejayaan Malaysia menjadi mediator atau pengantara bagi menyelesaikan konflik antara Bangsa Moro dan kerajaan Filipina  diiktiraf  sebagai sumbangan yang amat besar dan ramai umat Islam dapat diselamatkan.

Katanya begitu juga di selatan Thailand, rintisan  perdamaian telah ditempa apabila negara berjaya mengusahakan perjanjian

persetujuan bersama yang ditandatangani antara kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) iaitu kumpulan pejuang pembebasan Islam di selatan Thailand.
    
"Mudah-mudahan umat Islam di selatan Thai akan dapat mengecapi NONEmasa depan yang lebih baik," katanya.
    
Najib berkata beliau juga juga telah melakukan lawatan kemanusiaan ke Gaza, Palestin dan pendirian beliau ialah tidak mengira perbezaan politik untuk bekerjasama demi kepentingan umat Islam.
    
"Ini pendirian saya, walaupun saya tahu ada orang tidak berapa berkenan, tak berapa setuju, apa salahnya, sebab ini untuk kebaikan," katanya.
    
Malah, katanya, beliau menerima sepucuk surat daripada ulama Mesir Dr Yusuf Qardhawi yang menyatakan pengiktirafan dan penghargaan beliau kepada kerajaan terhadap misi lawatan kemanusiaan itu yang disifatkannya sebagai misi yang berani dan luar biasa.
    
"Maknanya, kita telah melakukan sesuatu demi kepentingan ummah," kata perdana menteri.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.