Aziz Bari: Ketua negeri perlu jaga k'jaan sementara

Mantan pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Dr Abdul Aziz Bari berkata para ketua negeri harus memastikan kerajaan sementara tidak melampaui kuasa apabila dewan undangan negeri atau parlimen dibubarkan.

Selain itu, penjawat awam dalam perkhidmatan awam juga bertanggungjawab untuk tidak berpolitik dan memastikan mereka sendiri kekal neutral sewaktu kempen pilihan raya berlangsung, katanya.

"Ketua negeri mesti memainkan peranan utama untuk memastikan ahli politik tidak melangkaui garisan yang ditetapkan pada masa sama perkhidmatan awam, penjawat awam perlu melaksanakan tugas mereka.

"Perlu diingat, secara prinsipnya penjawat awam adalah neutral," kata Abdul Aziz katanya dalam 'Persidangan Antarabangsa Pilihan Raya Umum ke-13 Malaysia' di Kuala Lumpur pagi tadi.

Dalam sesi berkenaan, Abdul Aziz berkata, kedua-dua entiti itu bertanggungjawab menggalas peranan itu kerana Perlembagaan Persekutuan tidak menggariskan dengan jelas tentang peranan kerajaan sementara.

Seorang lagi ahli panel, timbalan presiden PKR, Azmin Ali berkata kerajaan sementara perlu menjarakkan diri daripada perkhidmatan awam.

Menurut Azmin, kerajaan sementara perlu mengelakkan daripada menggunakan kemudahan awam seperti kenderaan perkhidmatan awam serta hasil risikan ketenteraan dan polis untuk kegunaan parti mereka.

"Mereka perlu mengelak daripada menggunakan sumber-sumber awam untuk mencapai objektif kempen politik mereka," kata Azmin sambil menambah perkara itu sewajarnya lebih dititik beratkan selepas pembubaran.

Penjawat dalam perkhidmatan awam juga perlu menjarakkan diri daripada kerajaan sementara dengan kekal bersikap neutral secara politik.

"Perkhidmatan awam" yang saya maksudkan adalah perkhidmatan awam secara umum termasuklah pentadbiran dan khidmat diplomatik termasuklah penguatkuasa undang-undang terutamanya tentera, polis, dan agensi anti rasuah, dan pastinya juga Pejabat Peguam Negara," kata Azmin.

Satu lagi amalan terbaik buat sebuah kerajaan sementara adalah untuk mengelak daripada terlibat dengan sebarang kontrak besar yang akan menyebabkan kerajaan akan datang terikat untuk memenuhi kontrak tersebut, kata Azmin.

Tambahnya lagi, sebarang pelantikan jawatan yang signifikan dalam perkhidmatan awam juga perlu dielakkan oleh kerajaan sementara.

"Sebabnya adalah jelas. Kerajaan akan datang itu mungkin kerajaan baru menggantikan kerajaan sedia ada dan mereka pastinya ada satu set dasar dan strategi berkaitan negeri dan persekutuan," kata Azmin.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang tindakan kerajaan sedia ada untuk mengutuk kempen pembangkang yang menganjurkan penukaran kerajaan adalah satu "penafian kepada rasional pilihan raya".

"Hakikatnya, keseluruhan asas pilihan raya itu adalah untuk membolehkan orang ramai memilih untuk (sama ada) menukar parti yang membentuk kerajaan," katanya.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.