Most Read
Most Commented
Read more like this

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) tidak akan mengumumkan 100 tuntutannya sehingga selesai menjalankan kajian terperinci dan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad.

"100 tuntutan belum boleh diumumkan, perlu dihantar kepada PM (Perdana Menteri) dahulu," jelas Setiausaha Agungnya, Syed Anuar Syed Muhamad kepada malaysiakini .

Beliau berkata perbincangan dengan 30 wakil badan bukan kerajaan (NGO) akan diadakan Rabu ini bagi mendapatkan pandangan pelbagai pihak mengenai kandungan tuntutan itu.

Tuntutan itu dikemukakan sebagai reaksi kepada tuntutan Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Persatuan-persatuan Cina (Suqiu).

Syed Anuar memaklumkan, Pertubuhan Belia 4B dan Pertubuhan Seni Silat Kebangsaan telah bersetuju untuk hadir dalam mesyuarat tersebut tetapi beliau enggan memaklumkan pertubuhan-pertubuhan lain yang terbabit.

Perbincangan itu yang akan bermula pada pukul 3 petang turut menetapkan tarikh untuk mengadakan perhimpunan 100,000 rakyat yang bakal diadakan di Stadium Bukit Jalil nanti. Manakala Sabtu depan, GPMS akan mengadakan satu lagi mesyuarat untuk menetapkan tarikh perhimpunan di peringkat negeri.

"Perhimpunan peringkat negeri bermula di negeri Terengganu 6 Januari (tahun depan)," kata Syed Anuar, menjelaskan siri perhimpunan cawangan-cawangan gabungan itu.

Akhbar hari ini melaporkan Kementerian Dalam Negeri tidak akan mengeluarkan permit sekiranya perhimpunan itu boleh menjejaskan keselamatan negara.

"Kami tidak akan menarik balik tuntutan selagi Suqiu berdegil dengan tuntutan mereka," tegas Syed berhubung tuntutan dan perhimpunan yang dirancang itu.

Empat tuntutan

Gabungan itu dalam kenyataan minggu lalu menyatakan empat tuntutannya iaitu Perdana Menteri hendaklah dilantik di kalangan orang Melayu, kaum Melayu dan Bumiputera diberikan kuota 70 peratus bagi kemasukan di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan kemasukan 60 peratus di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Selain itu, GPMS juga menuntut kerajaan memansuhkan pinjaman pelajaran dan menggantikannya dengan biasiswa, dan terakhir semua urusan rasmi agensi kerajaan dan swasta menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.

Bagaimanapun Presidennya, Datuk Suhaimi Ibrahim bulan lalu mencadangkan agar sekolah aliran Inggeris diwujudkan semula dari peringkat prasekolah lagi untuk menyediakan asas penguasaan bahasa itu yang lebih kukuh.

Beliau juga dilaporkan berhasrat mengadakan pertemuan dengan Menteri Pendidikan, Tan Sri Musa Mohamad bagi tujuan tersebut.

Menurut laporan agensi berita Bernama itu, kajian GPMS yang diketuai oleh Dr Anurddin Abdul Ghani dan Dr Sharifuddin Zainuddin mendapati sebanyak 75 peratus daripada 500 responden bersetuju sekolah aliran Inggeris diwujudkan semula.

ADS