Presiden Filipina syak seteru dalangi konflik di Sabah

Presiden Filipina Benigno Aquino III mengesyaki pemimpin parti lawannya, bekas presiden Gloria Macapagal-Arroyo, berperanan dalam konflik di antara pasukan keselamatan Malaysia dan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah.

Laporan Philippine Daily Inquirer hari ini menyebut Aquino dalam satu ucapan disiarkan televisyen, disertai pemimpin Wilayah Autonomi Islam Mindanao (ARMM), berkata pihak berkuasa sedang "membina" kes tersebut.

Aquino berkata bukti mengenai penglibatan orang yang didakwa berkonspirasi dengan penceroboh terbabit kini sedang berkumpul.

Ditanya mengenai penglibatan Arroyo, presiden tersebut dilaporkan berkata laporan risikan menunjukkan identiti orang yang berkonspirasi itu, namun tidak memberi "bukti yang diperlukan di mahkamah".

Philippine Daily Inquirer juga melaporkan, keluarga Sultan Sulu Jamalul Kiram III menafikan bekerjasama dengan pengkomplot terbabit dan mencabar pihak berkuasa Filipina untuk membuktikan dakwaan tersebut.

"Kesemua ini hanya dakwaan. Buktikannya. Kami cabar mereka untuk membuktikannya," kata Puteri Jacel Kiram, anak kepada sultan tersebut, dalam satu sidang media.

Sementara itu, Aquino turut menyatakan kebimbangan mengenai keselamatan warga Filipina yang bekerja dan tinggal di Sabah dan memberi amaran kepada penceroboh bersenjata itu bahawa mereka "tidak akan berjaya".

Pertentangan yang masuk minggu ketiga itu setakat ini mengorbankan lapan anggota polis Malaysia dan 19 penceroboh dalam pertempuran di Kampung Tanduo dan Semporna, manakala satu lagi kumpulan bersenjata dipercayai mendarat di Kunak.

Krisis itu memuncak hari ini apabila pasukan keselamatan Malaysia melancarkan serangan di Kampung Tanduo pada jam 7 pagi, bermula dengan serangan undara.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.