Anwar: TV3, Utusan melampaui batas

Ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau memfailkan saman terhadap akhbar milik Umno Utusan Malaysia dan juga stesen TV3 kerana mengaitkan beliau dengan pencerobohan tentera kesultanan Sulu di Sabah.

"Mereka bertindak melampaui batas-batas sivil dalam hal ehwal politik.

"Saya tahu Umno terus berbuat begini dengan membayar orang untuk memburukkan nama orang lain," katanya.

Menurutnya, saman itu difailkan kerana kedua-dua pertubuhan berita itu kerana menyiarkan dakwaan berkenaan tanpa mendapatkan ulasannya mahu pun memberikannya ruang untuk membuat ulasan balas bagi membela dirinya.

Menurut Anwar, tindakan "tidak bertanggungjawab" itu berbeza sama sekali dengan media bebas Filipina seperti Philippine Inquirer yang dipetik kedua-dua pertubuhan berita itu.

Menurutnya Philippine Inquirer hanya memetik sumber risikan Filipina yang mendakwa beliau ada bertemu dengan pemimpin Sulu namun mereka tidak menuduhnya terlibat mendalangi pencerobohan di Lahad Datu.

Menurutnya lagi, akhbar Filipina itu juga menghubungi beliau bagi mengatur sesi wawancara selepas mendengar penafiannya.

"Jika saya nak saman mereka pun, saya perlu melakukannya di Manila," kata Anwar.

Utusan Malaysia dalam laporannya yang dipersoalkan Anwar itu pada 2 Mac lalu memetik laporan Philippine Daily Inquirer bertajuk “Philippine govt intel eyes 3 groups abetting Sulu sultan’s claim”.

TV3 dalam laporan Buletin Utama juga memetik laporan yang sama.

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.