Rakyat M'sia di Filipina dinasihat lebih berwaspada

Kementerian Luar hari ini menggalakkan semua rakyat Malaysia di Filipina supaya mengutamakan keselamatan diri berikutan
perkembangan terkini di Lahad Datu, Sabah, apabila operasi dijalankan untuk menghapuskan pengganas asing bersenjata.
    
Mereka juga dinasihati supaya lebih berwaspada semasa menjalankan aktiviti harian.
    
Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata Kedutaan Malaysia di Makati City, Manila dan pejabat konsul jeneral di Davao City sentiasa berhubung dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan di Filipina dalam memantau serta menilai tahap keselamatan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan rakyat serta kepentingan Malaysia di Filipina.
    
Ia menyentuh tentang demonstrasi yang diadakan sekumpulan 40 orang di luar kedutaan itu yang bermula pada jam 10 pagi ini dan berakhir tanpa kejadian tidak diingini pada jam 11.30 pagi.
    
Pihak yang berdemonstrasi itu, kata kementerian berkenaan, dipercayai mewakili sejumlah kecil kumpulan setempat yang berhasrat menyuarakan pandangan mereka mengenai keadaan di Lahad Datu.

"Kementerian Luar Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada kerajaan Filipina, khususnya Polis Negara Filipina, kerana menyediakan perlindungan keselamatan yang diperlukan kepada Kedutaan Malaysia di Manila dan pejabat konsul jeneral di Davao City," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyebut memandangkan keadaan keselamatan semasa di kedua-dua pejabat perwakilan diplomatik dan kawasan persekitaran berada dalam keadaan tenang dan terkawal, kedua-dua kedutaan itu akan terus dibuka melainkan kementerian memaklumkan sebaliknya.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.