K'jaan S'gor biayai lebihan nilai aset pemegang konsesi

Kerajaan Negeri Selangor berkata ia akan membiayai sebarang lebihan nilai aset yang mungkin timbul susulan proses kajian daya maju terhadap aset air pemegang konsesi air di negeri ini yang dicadangkan untuk diambil alih.
    
Empat pemegang konsesi air itu ialah Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Puncak Niaga (M) Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium Abass Sdn Bhd (ABASS).
    
Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata liabiliti tertunggak pemegang konsesi juga akan ditangani sebagai sebahagian daripada proses pengambilalihan.
    
Beliau berkata pegawai kerajaan negeri dalam perbincangan dengan beberapa pembiaya tempatan dan antarabangsa yang telah menunjukkan minat untuk menyediakan sokongan kewangan untuk proses pengambilalihan berkenaan.    
    
"Oleh itu, tidak perlu bagi pemegang konsesi air untuk menunggu pengesahan oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) mengenai pelupusan aset air sebelum menerima tawaran pengambilalihan negeri sebanyak RM9.65 bilion.
    
"Kerajaan negeri berharap kenyataan ini akan mempercepatkan perbincangan untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Selangor.
    
"Sejak tawaran itu dibuat pada 20 Feruarib, Kumpulan Darul Ehsan Bhd (KDEB) mengadakan beberapa siri perbincangan dengan pemegang saham Splash, Abass, Puncak Niaga dan Syabas," kata Khalid.
    
Puncak Niaga Holdings Bhd, pemegang saham yang mengawal PNSB dan Syabas, juga telah melalui surat bertarikh 27 Februari 2013 dan dua surat lain bertarikh 4 Mac 2013 meminta penjelasan mengenai pelbagai perkara mengenai tawaran KDEB di mana  KDEB menjawab melalui surat bertarikh 28 Februari 2013 dan 5 Mac 2013.
    
Antara penjelasan yang diminta oleh Puncak Niaga adalah sama ada nilai aset air melebihi nilai liabiliti tertunggak kepada PAAB.
    
Khalid berkata sebelum ini bagi pembayaran sebarang lebihan nilai aset kepada pemilik aset yang dibuat oleh PAAB seperti yang dijalankan dalam pemerolehan aset air di Johor dan Melaka.
    
Walaupun KDEB telah mengadakan perbincangan awal dengan PAAB berhubung  pelupusan aset air, rundingan rasmi hanya boleh diadakan selepas perjanjian pada dasarnya diperoleh daripada para pemegang saham syarikat konsesi air masing-masing di Selangor, katanya.
    
Beliau bagaimanapun berkata, Puncak Niaga mahukan pengesahan daripada PAAB mengenai lebihan nilai aset.
    
"Dalam hal ini, KDEB, susulan perundingan dengan kerajaan negeri, bersedia untuk membiayai apa-apa lebihan nilai aset yang mungkin timbul berikutan proses kajian daya maju aset air," katanya.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.