Rozali biayai pengajian anak Allahyarham Sjn Sabaruddin

Pengerusi Eksekutif Puncak Niaga Holdings Bhd Tan Sri Rozali Ismail menyatakan hasrat membiayai kos pembelajaran kesemua anak Allahyarham Sjn Sabarudin Daud yang terkorban dalam insiden pertempuran dengan kumpulan penceroboh bersenjata di Lahad Datu, Sabah Jumaat lepas.
    
Selain itu Rozali juga berhasrat membiayai kos menunaikan haji untuk balunya, Nurunnisa Abu Bakar, 42, bersama seorang teman atau mahram terdekat serta menanggung upah haji bagi pihak Allahyarham Sabarudin, 46.
    
police killed in sabah lahad datu incident 020313 funeralHasrat itu dinyatakan dalam kenyataan yang dibacakan oleh isteri beliau, Puan Sri Faridah Idris ketika menyampaikan surat persetujuan pembiayaan kesemua sumbangan berkenaan kepada Nurunnisa di pejabat Kem Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta di Ipoh semalam.
    
Rozali berkata sumbangan itu merupakan tanda simpati dan penghargaan di atas pengorbanan dan jasa Sabarudin sebagai seorang pahlawan yang menjadi lambang semangat juang kepada semua demi meningkatkan maruah bangsa dan negara.
    
Beliau yang juga Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor berkata pertubuhan itu akan menyediakan ruang pekerjaan untuk anak-anak Allahyarham apabila tamat pengajian kelak.
    
"Semoga sumbangan kecil ini dapat membantu keluarga Allahyarham dalam menempuh kehidupan baharu," kata Rozali.
    
Faridah berkata pengorbanan Sabarudin yang merupakan anak jati Selangor dalam menjaga keselamatan negara amat disanjungi.
    
police killed iin sabah lahad datu incident 020313 01"Sesungguhnya Allahyarham (Sabarudin) merupakan insan terpilih daripada kalangan kita untuk kembali kepadanya sebagai seorang pahlawan. Kami tidak dapat bersama-sama memikul senjata hanya mampu memanjatkan doa kehadrat Allah," katanya.
    
Bagi Nurunnisa, pemberian itu amat berharga dan melahirkan rasa gembira dan bersyukur apabila hajat suaminya untuk mengerjakan haji termakbul serta pengajian anak-anaknya terjamin.
    
Beliau yang mempunyai tiga orang anak iaitu Haziq Wahiduzzaman, 19, Haziqah Zuhailah, 16, dan Hazriq Zafri, 12, berkata dia perlu tabah dan harus berdikari untuk memastikan kejayaan anak-anaknya.
    
"Saya perlu kuat kerana jika saya sedih, anak juga akan bersedih. Saya buat seperti biasa dan anak-anak juga nampaknya dapat menerima kenyataan, namun Haziqah masih sedih kerana sebagai anak perempuan tunggal, dia sangat rapat dengan bapanya," katanya dengan tenang.
    
Menurutnya dia juga akan cuba memenuhi permintaan arwah untuk melihat Hazriq yang terlibat dalam program 'Soccer Kids' untuk menyambung pengajian di sekolah sukan.
    
Sabarudin, antara dua anggota komando polis VAT 69 yang terkorban dalam kejadian yang tercetus di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 1 Mac antara pasukan keselamatan dan kumpulan penceroboh bersenjata dari selatan Filipina. Turut terkorban dalam insiden itu ASP Zulkifli Mamat, 29.
    
Enam anggota polis turut terkorban dalam serangan hendap sekumpulan lelaki bersenjata di perkampungan air Kampung Sri Jaya, Simunul, Semporna pada 2 Mac.
    
- Bernama   
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.