Pemuda Umno: Pemandu beredar takut orang bertatu

Pemuda Umno Lumut, Perak mengaku ada anggotanya terbabit dalam kemalangan di sebuah jalan raya di Lekir menuju ke Kamunting yang mengakibatkan seorang wanita warga emas maut, tetapi menafikan dakwaan bahawa pemandu kenderaan itu melarikan diri.

NONESebaliknya, Ketua Pemudanya, Mohd Shahril Yahaya berkata,
pemandu yang enggan namanya disebut itu hanya beredar kira-kira 100 meter dari tempat kejadian kerana takut dengan beberapa orang bertatu yang berada di lokasi kemalangan itu.

"Trak Hilux itu diserahkan kepada pemuda untuk pilihan raya. Pemandu itu bukan sengaja melanggar tetapi dia cuba nak hentikan kenderaan tapi dia terempuh.

"Bukan seperti yang didakwa (larikan diri). Pemuda tu ada turun. Tapi lepas dia tengok dah tak bergerak, dia bawa Hilux itu kira-kira 100 meter sebab masa itu sudah ramai orang kerumun dan pemandu dalam keadaan takut.

"Dia takut sebab dia risau keselamatan dia dan takut diapa-apakan sebab masa itu ramai orang yang bertatu dah ada kat situ. Pemandu ada je dekat kawasan situ tapi terpaksa tak mengaku sebab tak nak sebarang kejadian yang tak diingini terjadi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

NONEAhad lalu, akhbar China Press melaporkan bahawa mangsa yang menunggang motosikal berasingan bersama suaminya yang berusia 78 tahun dalam perjalanan pulang rumah selepas menoreh di sebuah estet, dilanggar di sebuah jalan raya di Lekir.

Menurut Facebook cucu mangsa, Joanne Lim, datuknya menunggang motosikal kira-kira enam meter di belakang neneknya sebelum secara tiba-tiba sebuah kereta Hilux dengan logo BN dan Umno meluncur laju dan merempuh belakang motosikal neneknya.

Selepas itu, menurut Joanne, neneknya telah terpelanting serta terjatuh dengan kepalanya mengenai jalan raya.

Beliau juga mendakwa, pemandu kenderaan itu bersama dua penumpang lain mencabut logo BN dan bendera 1Malaysia daripada kenderaan itu sebelum beredar.

NONEAkhbar China Press juga melaporkan bahawa pemberitanya sendiri menyaksikan beberapa lelaki mengoyak logo parti dari kenderaan itu sebelum melarikan diri dari tempat kejadian tanpa memberi sebarang bantuan kepada mangsa.

Shahril bagaimanapun menafikan dakwaan yang mengatakan pemandu itu mencabut logo serta bendera dari kenderaan itu.

Menurutnya, beliau turut mempunyai saksi lain ketika kejadian
memandangkan terdapat jawatankuasa Pemuda di belakang kenderaan Hilux semasa kejadian.

Katanya lagi, pemandu tersebut serta jawatankuasa Pemuda dari Lekir menuju ke rumahnya untuk ke sebuah program BN di Kampar.

"Logo ada je pada Hilux. Tak ada pun dicabut. Kita ada saksi sebab belakang kereta Hilux tu ada jawatankuasa Pemuda yang ikut dari belakang. Dia pandu seorang.

"Kereta sekarang ada di balai. Lepas kejadian saya datang ke tempat pemandu itu dan buat laporan polis di IPD Manjong," katanya lagi.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.