Pejabat AG mohon ekstradisi Jamalul Kiram

Pejabat Peguam Negara (AGC) akan mengemukakan permohonan bagi Jamalul Kiram III dari Filipina diekstradisi ke negara ini jika terbukti ada kes terhadapnya, kata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini.

Beliau berkata pejabatnya telah meneliti perkara itu (ekstradisi) sejak minggu lepas.

"Perkara paling penting ialah siasatan terhadap perkara itu oleh polis perlu diselesaikan terlebih dahulu, kes perlu dibuktikan terhadap seseorang sebelum membuat permohonan bagi ekstradisi," katanya kepada Bernama semasa dihubungi hari ini.

Pegawai tertinggi pejabat pendakwa raya itu menjelaskan perlu dibuktikan ada kes terhadap seseorang itu sebelum AGC memutuskan untuk mengambil sebarang tindakan seperti memohon ekstradisi atau mendakwa seseorang itu di mahkamah.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya memberi ruang kepada polis menjalankan tugas mereka menyiasat kes itu.

"Jika terbukti ada kes, kami (AGC) pasti akan melakukannya (memohon ekstradisi)," tegas Abdul Gani.

Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas laporan media mengenai ekstradisi Jamalul Kiram yang didakwa mengarahkan pencerobohan bersenjata di  Sabah, yang mengakibatkan lapan anggota polis terbunuh.

- Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.