Pasukan keselamatan perluas operasi ke Tanjung Batu

dikemaskini Pasukan keselamatan telah bergerak memasuki Tanjung Batu yang terletak bersebelahan Kampung Tanduo di mana operasi memburu penceroboh Filipina bermula semalam.

lahad datu 050313 ismail omarKetua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, operasi itu kini diperluaskan meliputi Tanjung Batu dan operasi bermula pada jam 3 petang hari ini.

"Polis dan angkatan tentera memasuki Tanjung Batu ketika mengesan penceroboh pada sekitar jam 4.15 petang," katanya dalam satu sidang akhbar di Felda Sahabat petang ini.

Di sana, tegasnya, berlaku pertempuran dan percaya pasukan keselamatan telah membunuh beberapa orang musuh tetapi tidak dapat mengesahkan bilangannya pada masa ini.

Penduduk Tanjung Batu mendakwa kampung mereka telah diambil alih oleh kira-kira 50 penceroboh seawal hari Isnin, menyebabkan mereka lari meninggalkan rumah masing-masing.

Sementara itu, Bernama melaporkan, pasukan keselamatan mula membuat pemeriksaan di perkampungan itu pada pukul 3 petang untuk menjejaki musuh yang memasuki kawasan kampung berkenaan.
   
"Pada kira-kira 4.15 petang berlaku tembak menembak di tiga lokasi kampung itu dan kami percaya ada musuh yang gugur, tetapi waktu ini saya tidak dapat sahkan jumlah musuh yang terkena tembakan," kata Ketua Polis Negara.

Ismail, dalam sidang akhbar bersama Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zain pada pukul 6 petang ini, berkata tiada anggota keselamatan yang cedera dalam kejadian itu dan tiada yang dijadikan tawanan pihak musuh.
   
Semalam, pasukan keselamatan melancarkan serangan udara menggunakan jet pejuang F18 dan Hawk sebagai gerakan pertama ke arah menamatkan pencerobohan pengganas Sulu sejak 12 Februari lepas.
   
Sesudah itu, gerakan susulan dan penggeledahan dilakukan rumah ke rumah bertumpu di sekitar kawasan empat kilometer persegi di kampung itu bagi memburu kumpulan pengganas itu.
   
Kawasan operasi kini diperluas setiap dua kilometer berikutan pasukan keselamatan mengesan kumpulan pengganas sedang bergerak ke tempat-tempat tertentu
   
Zulkifeli berkata pasukan keselamatan kini memperluaskan kawasan operasi dan penggeledahan untuk mencari senjata api yang dipercayai ditanam di kawasan terbabit.
   
"Kami yakin masih ada saki baki pengganas di kawasan Kampung Tanduo," katanya.
   
Kedua-dua pimpinan tertinggi pasukan keselamatan negara itu turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang banyak menghantar SMS kepada mereka memberi sokongan dan semangat serta diiringi doa untuk keselamatan dan kejayaan pasukan keselamatan dalam Op Daulat.
   
"Kami berdua ucap berbanyak terima kasih kepada rakyat Malaysia yang memberikan sokongan dan doa untuk meningkatkan semangat kami," katanya.
 

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.