Pemimpin MNLF dakwa lebih ramai pejuang ke Sabah

Pejuang Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF) dari Filipina, menuju ke Sabah untuk mengukuhkan kedudukan pengikut Sultan Sulu yang berjuang menentang pasukan keselamatan Malaysia, dakwa seorang pemimpin mereka hari ini.

"Ramai telah meloloskan diri daripada pasukan keselamatan. Mereka sudah mahir dengan kawasan tersebut kerana mereka dilatih di sana pada masa lalu," kata Muhajab Hashim, pengerusi Majlis Perintah Islam MNLF.

"Kami menjangka lebih ramai daripada mereka akan menyertai (pertempuran) walaupun jika arahan rasmi kita adalah supaya mereka mengelak pergi ke sana," katanya.

NONEBeliau tidak pasti berapa ramai pejuang MNLF telah berjaya melepasi
kawalan tentera laut Filipina dan Malaysia, tetapi berkata sebelum ini, "ribuan" telah menyatakan hasrat mereka untuk menyertai kira-kira 200 pengikut kesultanan Sulu, yang diketuai oleh Raja Muda Azzimudie Kiram.

Majlis Perintah Islam MNLF menyelia semua pasukan tentera MNLF, untuk melucutkan senjata sebagai sebahagian daripada perjanjian damai 1996 tetapi tidak dipatuhi sepenuhnya.

Hashim berkata walaupun pemimpin MNLF tidak secara rasmi mengarahkan pengikut mereka belayar ke Malaysia, tetapi mereka menyokong penuh usaha Sultan Sulu menuntut Sabah.

"Pejuang MNLF taat kepada sultan, kita adalah pengikut. Jadi ia lebih daripada satu pakatan," katanya. "Kami menentang keras serangan terhadap saudara kami dari Sulu."

Pasukan keselamatan Malaysia telah melancarkan serangan ofensif besar-besaran semalam selepas tiga minggu pengikut sultan Sulu Jamalul Kiram III berkubu di situ dan keganasan meletus minggu lalu yang mengakibatkan sekurang-kurangnya 27 orang terbunuh.

Tetapi pembantu sultan berkata di Manila bahawa kumpulan Azzimudie terselamat daripada serangan, termasuk serangan udara.

MNLF diasaskan pada tahun 1960-an oleh Nur Misuari yang memperjuangkan untuk wilayah Islam di Mindanao dan pernah mendapat sokongan dari Malaysia. AFP

[Baca berita penuh]

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.