Hamza: Laut, darat dikepung sekat bekalan makanan pada musuh

Pasukan keselamatan mengadakan kepungan di laut dan darat bagi mengekang kemasukan bekalan makanan dan persenjataan kepada kumpulan penceroboh bersenjata di Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata pihak keselamatan turut menangkap penceroboh yang cuba masuk dan keluar daripada Kampung Tanduo serta Tanjung Batu bagi mendapatkan bekalan makanan.

"Kita telah mengadakan kepungan setakat ini, jika mengikut jalan laut, kita telah mengadakan kerjasama erat dengan pasukan seperti ATM (Angkatan Tentera Malaysia) dan TLDM (Tentera Laut Diraja Malaysia). Kita telah mengadakan kepungan di lautan dan di darat.

"Saya rasa bekalan makanan itu tidak dapat masuk, kerana banyak juga cubaan yang kita dapati yang mereka nak masuk dan nak keluar, kita berjaya menangkap mereka," katanya ketika ditemu bual menerusi program Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 yang disiar secara langsung, di ibu negara hari ini.

Penceroboh bersenjata dari selatan Filipina itu yang berkubu di Kampung Tanduo, Felda Sahabat 17, Lahad Datu dikepung pihak keselamatan negara sejak 12 Februari dalam usaha kerajaan menyelesaikannya secara aman.

Namun, pada 1 Mac kumpulan terbabit menyerang pihak keselamatan yang mengorbankan dua anggota polis komando VAT 69 dan sehari selepas itu enam lagi anggota polis terkorban dalam serangan hendap di sebuah perkampungan di Semporna, juga angkara kumpulan
penceroboh.

Mengenai kumpulan penceroboh yang dipercayai menyamar sebagai orang awam susulan tindakan ofensif pihak keselamatan kelmarin, Hamza berkata pihaknya mengadakan kepungan di Kampung Tanjung Batu bagi memastikan tiada orang awam di situ sebelum serangan dilakukan.

"Kalau ada jalan keluar pun, 'the only way out' ialah ikut jalan laut. Bagaimanapun, saya tidak menafikan (wujud cabaran) kerana kita berhadapan dengan manusia, jadi masing-masing ada tipu helah," katanya.

Berhubung penahanan empat suspek lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan penceroboh di Kampung Sri Jaya Simunul, Semporna, Hamza berkata polis masih menyiasat sejauh mana penglibatan suspek dengan kumpulan berkenaan.

-Bernama

 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.