Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melawat zon konflik di Lahad Datuk hari ini -  dua hari selepas serangan pasukan keselamatan di Kampung Tanduo.

Laporan Utusan Online menyebut, Najib yang diiringi ketua menteri Datuk Seri Musa Aman tiba Felda Sahabat Residence pada kira-kira 1.45 petang dengan menaiki helikopter Nuri.

Sementara itu dalam satu sidang media terdahulu, menteri pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, perdana menteri mahu melihat sendiri perjalanan Ops Daulat dan untuk meniup semangat anggota polis dan tentera di situ.

Dalam sidang media sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata perdana menteri akan ke lapangan Op Daulat dalam operasi susulan dan penggeledahan di Kampung Tanduo, kira-kira 130 kilometer dari sini.

   

Hishammuddin berkata beliau yakin kehadiran Najib akan memberi semangat baharu kepada semua anggota pasukan keselamatan yang terlibat dalam Op Daulat, terutama setelah apa yang dilalui sepanjang operasi itu.

   

"Kalau diikutkan kehendak perdana menteri sejak hari pertama lagi beliau sudah mahu turun ke sini," katanya seperti dilaporkan Bernama.   

Hishammuddin berkata Najib dijadual memantau perjalanan dan akan diberi taklimat perkembangan terkini operasi.

   

"Secara peribadi saya dan Zahid cukup menunggu kehadiran beliau. Sebelum ini kami hanya menghubungi perdana menteri melalui telefon dan hari ini beliau sendiri turun untuk melihat sendiri keadaan di lapangan," katanya.

Menjelas lanjut, Ahmad Zahid berkata selain bertujuan memantau perjalanan operasi dan memberi semangat kepada pasukan keselamatan, kedatangan Najib adalah untuk melihat kelengkapan logistik dan kebajikan anggota bertugas.

"Empat faktor ini yang menjadi latar belakang lawatan perdana menteri ke lapangan," katanya.

   

Beliau berkata ini bukan kali pertama Najib turun ke 'ground zero' kerana beliau yang pernah menjadi menteri pertahanan selama 14 tahun, telah ke Bosnia and Herzegovina, Timor Leste, Lubnan dan yang terakhir ke Gaza.

   

Dalam sidang media itu Ahmad Zahid turut mengedarkan beberapa keping gambar berhubung operasi susulan dan penggeledahan yang dijalankan anggota keselamatan di Kampung Tanduo kepada media.

 

ADS