Kes warga emas maut: Polis pulang trak Pemuda Umno

Polis memulangkan semula satu trak milik Pemuda Umno Lumut, Perak yang didakwa terlibat dengan satu kemalangan mengakibatkan kematian seorang warga emas di sebuah jalan raya di Manjung, Perak.

Pegawai penyiasat trafik ibu pejabat daerah (IPD) Manjung Inspektor Muhammad Ikhwan Abdul Hamid ketika dihubungi Malaysiakini berkata, pihaknya memulangkan trak jenis Toyota Hilux itu semalam selepas menyiasat saksi dan kenderaan terlibat.

NONE"Kita telah panggil dan ambil keterangan saksi iaitu suami mangsa dan pemandu. Pada hari kejadian lagi kita dah ambil keterangan. Kenderaan pun kita dah bawa kepada pihak teknikal dan Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) untuk dibuat siasatan.

"Dan kenderaan pun telah diserahkan semula pada Rabu (semalam)," katanya yang menambah siasatan kini masih lagi dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tambahnya, polis masih menunggu laporan teknikal Puspakom untuk melengkapkan siasatan.

NONEAkhbar China Press pada Ahad lalu melaporkan, seorang wanita warga emas berusia 73 tahun dilanggar ketika dalam perjalanan pulang rumah selepas menoreh getak di sebuah estet di satu jalan raya di Lekir, Manjung.

Cucu mangsa, Joanne Lim mendakwa datuknya, 78, menunggang motosikal berasingan kira-kira enam meter di belakang neneknya ketika sebuah trak pikap dengan logo BN dan Umno meluncur laju dan merempuh belakang motosikal neneknya itu.

Selepas itu, menurut Joanne, neneknya telah terpelanting serta terjatuh dengan kepalanya mengenai jalan raya.

Beliau juga mendakwa, pemandu kenderaan itu bersama dua penumpang lain mencabut logo BN dan bendera 1Malaysia daripada kenderaan itu sebelum beredar.

NONEAkhbar China Press juga melaporkan bahawa pemberitanya sendiri menyaksikan beberapa lelaki mengoyak logo parti dari kenderaan itu sebelum melarikan diri dari tempat kejadian tanpa memberi sebarang bantuan kepada mangsa.

Ketua Pemuda Umno Lumut, Mohd Shahril Yahaya mengakui anggotanya terbabit dalam kemalangan itu tetapi menafikan dakwaan bahawa pemandu kenderaan tersebut melarikan diri.

Sebaliknya, katanya, pemandu itu hanya beredar kira-kira 100 meter dari tempat kejadian kerana takut dengan beberapa orang bertatu yang berada di lokasi kemalangan itu.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.