Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tian: Saya hanya bertanggungjawab dengan petikan langsung
Diterbitkan:  Mar 7, 2013 4:09 PM
Dikemaskini: 8:51 AM

Naib presiden PKR Tian Chua hari ini dilihat seolah-olah menjauhkan diri dengan laporan lidah rasmi parti Keadilan Daily yang disiarkan pada 1 Mac lalu, yang memetik kenyataan beliau berhubung pencerobohan di Lahad Datu.

Tian yang juga ahli parlimen Batu berkata beliau hanya bertanggungjawab terhadap petikan langsung dalam laporan tersebut.

Berikut adalah kenyataan penuh Tian berhubung perkara tersebut:

Sejak tanggal 1 Mac, pemimpin-pemimpin BN dan kerajaan telah melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap saya. Blog dan cybertrooper pro-BN juga menyebarkan nombor telefon saya dan menghasut penyokong BN hantar mesej ancaman kepada saya.

Pada tanggal 4 Mac, Umno telah hantar surat tuntutan kepada saya bahawa saya harus memohon maaf kepada Umno. Di sini, saya tegaskan sekali lagi, saya tidak pernah keluarkan apa-apa kenyataan yang menghina mana-mana pihak. Saya akan serah kepada mahkamah untuk membersihkan nama saya.

Tuduhan bahawa saya telah menghina pasukan keselamatan adalah fitnah dan pembohongan jahat oleh pemimpin-pemimpin BN. Saya ingin ulangi pendirian saya bahawa saya menghormati peranan pasukan Keselamatan dan jasa mereka dalam tugasan mempertahankan negara. Saya juga bersimpati dengan anggota-anggota keselamatan yang berkorban atau menjalankan tanggungjawab dalam keadaan yang sangat mencabar.

Di sini saya ingin buat kali terakhir untuk menjelaskan kenyataan yang telah diuar-uarkan oleh pemimpin-pemimpin BN dari perdana menteri ke bekas ketua polis negara yang mendakwa saya menghina anggota keselamatan.

Saya ingin terangkan kontek kenyataan saya dalam KeadilanDaily.com:

Saya dihubungi wartawan untuk komen tentang pecerobohan di Lahad Datu pada pagi 1 Mac ketika ada berita antarabangsa melaporkan ada tembakan berlaku. Saya secara jelas menyatakan perkara ini belum ada kesahihan dan ada media black-out di Malaysia.

Perenggan yang kemudian, sesiapa pembaca celik sudah tentu faham ia dinyatakan dalam kontek ada usaha setengah-tengah pemimpin BN dan blogger cuba kaitkan pihak pembangkang dalam pencerobohan Lahad Datu. Ia mesti dibaca bersama banyak artikel-artikel sebelum ini yang mendakwa saya dikirim oleh Datuk Seri Anwar ke Manila untuk berunding dengan MNLF. Juga ada dakwaan Anwar mendalangi peristiwa Lahad Datu. Segala ini telah disifatkan sebagai sandiwara oleh ramai pemimpin-pemimpin yang lain.

Perkara ini dirumitkan lagi bila ada blogger Umno termasuk Papagomo dan lain-lain rekakan berita bahawa saya berucap di Puchong menyifatkan pengorbanan anggota keselamatan dengan ayat "Komando Mati Katak". Ini fitnah yang keterlaluan dan telah membawa ancaman terhadap keselamatan peribadi saya. Saya menasihatkan semua blogger yang menyiarkan berita palsu ini untuk berhenti dalam 24 jam, dan saya akan hantar surat saman kepada sesiapa yang meneruskan sebaran berita palsu ini.

Saya amat kesal terhadap pemimpin-pemimpin BN dan juga media yang dikuasai mereka memutar-belitkan kenyataan saya sehingga menghasut kebencian orang ramai yang tidak ketahui kebenaran. Ini adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan bermotif politik.

Dalam keadaan negara kita menghadap ancaman anasir-anasir ganas, keseluruhan rakyat Malaysia sepatutnya berdiri teguh memberi sokong penuh kepada pasukan keselamatan kita. Malangnya, kerajaan tidak terhenti-henti menyerang politik lawan. Sepatutnya ahli-ahli politik harus menunjukkan rasional dan kematangan untuk membina kesepakatan menghadapi krisis negara.

Saya harap episod tuduh-menuduh ini boleh dihentikan serta-merta. Kepada anggota keselamatan yang mengorbankan nyawa dan kesejahteraan diri, saya sampaikan penghormatan tertinggi dan harap adu-domba politik di antara kerajaan dan pembangkang tidak melemahkan semangat. Teruskan perjuangan, rakyat Malaysia menyanjungi kamu semua.

ADS