K'jaan S'gor sedia ambil alih SYABAS terlebih dahulu

Kerajaan negeri Selangor menerusi anak syarikatnya Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) sedang menimbang untuk mengambil alih operasi air daripada Syarikat Bekalan Air Sdn Bhd (SYABAS) terlebih dahulu sebelum meneruskan dengan syarikat pemegang konsesi air lain, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
    
Beliau berkata selepas pengambilalihan dari SYABAS selesai, pihaknya akanbmengambil alih operasi dua syarikat pemegang konsesi lain iaitu Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) dan Konsortium ABBAS Sdn Bhd, yang mana KDEB sudah menjadi pemegang saham terbesar.
    
"Sementara itu, pengambilalihan satu lagi konsesi, Puncak Niaga Sdn Bhd bergantung kepada persetujuan KDEB dengan pemegang saham terbesar, Puncak Niaga Holdings Berhad," katanya dalam satu kenyataan semalam.
    
Pada 20 Februari lepas, jawatankuasa exco kerajaan negeri Selangor membenarkan KDEB membuat tawaran bernilai RM9.65 bilion untuk memulakan  proses pengambilalihan empat syarikat pemegang konsesi itu.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar menjangkakan pengambilalihan industri air daripada empat syarikat pemegang konsesi oleh kerajaan Selangor tidak akan berlaku dalam masa terdekat.
    
Beliau berkata ini berikutan kegagalan kerajaan negeri melalui KDEB menyediakan penawaran pengambilalihan yang lengkap dan menyeluruh menyebabkan Puncak Niaga tidak bersetuju dengan tawaran itu.
    
"Yang menghairankan bagaimana ini boleh berlaku? Menteri Besar Selangor (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) seorang tokoh korporat, takkan dia tiada pengalaman dan tidak tahu bagaimana proses pengambilalihan dibuat, tambah lagi ini membabitkan syarikat senaraian awam.
    
"Turut menjadi tanda tanya kalau benarlah tawaran dibuat itu tidak lengkap apa sebabnya? Adakah sengaja dilakukan untuk melengah-lengahkan perkara ini memandangkan pilihan raya umum (PRU) dah makin dekat," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Klinik 1Malaysia Parit Dua  semalam.

Semalam, Puncak Niaga dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia, tidak bersetuju dengan tawaran KDEB untuk mengambil alih kepentingan aset air syarikatnya berikutan penawaran tersebut tidak lengkap dan tidak menyeluruh.
    
Puncak Niaga menjelaskan lembaga pengarahnya tidak mencapai keputusan akhir dan tidak dapat mempertimbangkan untuk meluluskan tawaran KDEB dalam mesyuarat khas Lembaga Pengarah bersama penasihatnya, Hong Leong Investment Bank Bhd.
    
"Ini ialah kerana penawaran daripada KDEB itu tidak lengkap dan tidak menyeluruh serta kedudukan yang diambil oleh Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB)," katanya.
    
Puncak Niaga berkata pada mesyuarat kelmarin, yang tidak dihadiri pengerusi eksekutif dan pemegang saham utama Tan Sri Rozali Ismail, para pengarahnya telah membuat keputusan yang syarikat masih lagi sanggup untuk mengadakan perbincangan dengan KDEB berhubung tawaran itu, tertakluk kepada kesediaan KDEB menyediakan jawapan pasti kepada semua perkara yang ditimbulkan oleh syarikat.
    
Semalam, Abdul Khalid pula dilaporkan berkata, buat masa ini perbincangan sedang berjalan di antara kerajaan negeri melalui KDEB dan syarikat konsesi terlibat termasuk PAAB dan hasil perbincangan itu akan diumumkan dalam masa dua minggu.

Noh yang juga menteri pertanian dan industri asas tani turut mempersoal tindakan kerajaan negeri yang mengadakan perbincangan berhubung proses pengambilalihan itu di saat-saat akhir menjelang PRU.
    
"Kenapa di saat dia dah umum Dewan Undangan Negeri bubar dia sibuk pula dengan proses ambilalih sedangkan saya dan perdana menteri sebelum ini banyak kali buat kenyataan kita tiada halangan dia nak ambil alih tetapi masa itu dia pula berdolak dalik dan pelbagai alasan dia beri.
    
"Tetapi akhirnya menjelang PRU dia pula sibuk, nanti sudahnya nanti bila PRU saya yakin perkara ini tidak akan berlaku... ini hanya gimik PRU dan hanya nak tipu rakyat. Kerajaan negeri nak tunjuk kononnya dia nak jadi juara  dalam isu air ini," katanya.

- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.