MB: K'jaan sementara tak timbul jika bubar parlimen sebelum 5 tahun

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berpendapat isu kerajaan sementara "tidak timbul" sekiranya pembubaran parlimen atau DUN dilakukan sebelum tempoh penggalnya tamat.

Sehubungan itu, beliau yang juga ahli parlimen Bandar Tun Razak menganggap perkara tersebut "bukan perkara tetap yang perlu dibahaskan".

"Biasanya perkara ini tidak timbul jika pilihan raya dilakukan sebelum lima tahun. Dahulunya pilihan raya dilakukan, selepas empat tahun, sudah ada pilihan raya.

"Jadi perkara ini bukan perkara tetap yang (perlu) dibahaskan. Tapi ada baiknya pilihan raya dipanggil sebelum sampai lima tahun. Itu sahaja," katanya kepada pemberita di Shah Alam pagi ini.

Khalid berkata menurut pandangan penasihat undang-undang negeri dan juga pandangan peguam negara, kerajaan sementara bermula daripada tarikh sidang DUN Selangor yang bermula iaitu pada 22 April manakala sidang parlimen pada 28 April ini.

"Tapi (perkara) itu terpulanglah," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas pandangan pengamal undang-undang yang mencadangkan amalan kerajaan sementara di peringkat pusat dan negeri termasuk Selangor bermula esok, selepas pilihanraya umum berlangsung pada 8 Mac 2008.

Ditanya bila beliau akan membubarkan DUN Selangor, Khalid yang juga ADUN Ijok berkata:

"Saya rasa jawapan saya ialah pada masa yang kita tentukan kerana pada saya, kita menerima hakikat pembubaran (DUN) akan membolehkan pilihan raya dilakukan serentak (dengan pusat)," katanya.
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.