Sekolah di Semporna buka Isnin, Lahad Datu tunggu jaminan keselamatan

Kesemua 49 sekolah di daerah Semporna, melibatkan 40 sekolah rendah dan sembilan sekolah menengah yang ditutup sementara ekoran insiden pencerobohan pengganas Sulu akan dibuka sepenuhnya Isnin ini, kata Pengarah Pelajaran Negeri Sabah Jame Alip.
    
Bagi lapan sekolah yang terlibat di Lahad Datu pula, Jame berkata keputusan sama ada membuka semula sekolah atau sebaliknya akan ditentukan hari ini selepas mendapat jaminan keselamatan daripada pasukan keselamatan.
    
Beliau berkata satu mesyuarat khas kumpulan kerja keselamatan negeri Sabah akan diadakan hari ini di Kota Kinabalu bagi mengetahui jaminan keselamatan di sekitar sekolah yang terlibat.
    
"Hari ini kita akan dapatkan maklumat daripada pasukan keselamatan kerana semua sekolah terbabit terletak berhampiran kawasan gerakan ofensif terhadap kumpulan pengganas.
    
"Jika pasukan keselamatan kata keadaan selamat, insya-Allah semua sekolah di Lahad Datu selain Semporna akan beroperasi seperti biasa Isnin ini," katanya ketika dihubungi menerusi program Malaysia Hari Ini (MHI) TV3 yang disiar secara langsung, pagi ini.
    
Lapan sekolah yang masih ditutup di daerah Lahad Datu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Tambisan, SK Tanjung Labian, SK Sahabat 16, SK Lok Buani, SK Sahabat 14, SK Cenderawasih, SK Fajar Harapan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Desa Kencana.
    
Selain itu Jame menasihati ibu bapa supaya membenarkan anak-anak kembali ke sekolah dan tidak perlu khuatir kerana pasukan keselamatan akan memastikan keadaan terkawal sepenuhnya.
    
- Bernama
 



PERINGATAN: Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.