Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Filem kontroversi 'Tanda Putera' dijadual akan ditayangkan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada jam 9 malam ini.

Tayangan itu dianjurkan Kelab Wawasan UIA dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar UIA, kata pengerusi We Unite For Islam (WUFI) UIA, Mohd Najib Abdul Rahim.

Menurutnya, maklumat berkenaan diperoleh menerusi akaun Twitter @UIAM4peace, yang dipercayai dikendalikan kumpulan pelajar pro-mahasiswa.

Mohd Najib berkata, setiap kolej kediaman diminta menghantar enam orang mahasiswa sementara pelajar kor Sukarelawan Siswa Polis (Suksis) dan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Udara diwajibkan menghadiri tayangan yang dijangka dibuat di auditorium utama berhampiran pusat pentadbiran UIAM.

"Mereka yang akan hadir juga akan diberikan 'Star Point'," kata Najib merujuk kepada pengiraan mata untuk kegiatan kokurikulum yang akan disenaraikan dalam transkrip pengijazahan.

Menurutnya lagi, beliau kecewa apabila tayangan filem itu dibenarkan sedangkan forum 'PRU 13: Harapan Malaysia' anjuran Majlis Perwakilan Pelajar UIA yang sepatutnya berlangsung 4 Mac lalu dibatalkan penganjurannya oleh pihak HEP.

Seorang pegawai HEP UIAM yang dihubungi Malaysiakini mengesahkan tentang tayangan malam ini.

Ditanya tentang alasan UIAM membenarkan ia diadakan,  beliau menjelaskan ia adalah 'keputusan pihak rektor'.

Namun katanya, tayangan itu masih tertakluk kepada pembatalan pada minit-minit terakhir jika terdapat 'arahan pihak atasan' untuk berbuat demikian.

Tanda Putera yang telah diluluskan oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF) masih belum ditayangkan kepada umum selepas didakwa mengandungi elemen perkauman dalam menggambarkan peristiwa 13 Mei.

Jemaah menteri pada bulan November lalu mendapati filem berkenaan tidak sesuai untuk ditayangkan pada khalayak umum.

Filem berkenaan bagaimanapun tetap ditayangkan dalam sesi tertutup bersama bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamd dalam satu program anjuran Felda pada pertengahan bulan lalu.

Menteri di jabatan perdana menteri Datuk Ahmad Maslan pada masa itu mengumumkan bahawa penayangan filem berkenaan dibuat atas permintaan perdana menteri.

ADS